PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi ini, di tengah-tengah kebimbangan yang meningkat terhadap prospek masa depan kadar dana Rizab Persekutuan (Fed) AS, kata penganalisis.
Pada pukul 9 pagi, ringgit jatuh kepada 4.6905/6955 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.6800/6860, memetik laporan Bernama.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran mata wang kelihatan tidak berarah sejak dua hari lalu, kerana peserta masih tidak pasti tentang prospek kadar dana Fed, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS dijadualkan pada 12 hingga 13 Disember ini.
Sementara itu, kata beliau, laporan indeks harga pengguna (CPI) AS minggu depan (pada 14 November) akan dipantau dengan teliti.
Setakat ini, katanya, CPI teras telah turun kepada 4.1 peratus tahun ke tahun pada September 2023, daripada setinggi 6.6 peratus pada September 2022.
“Nampaknya dasar monetari yang mengetat telah menjejaskan inflasi, dan nampaknya kadar dana Fed sudah memuncak,” katanya, sambil menambah pasaran nampaknya tidak yakin, memandangkan beberapa kenyataan retorik pegawai Fed mengenai inflasi sebelum ini.
Mohd. Afzanizam berkata, ia boleh memberikan sokongan kepada dolar AS, dan (pertukaran) dolar AS-ringgit mungkin kekal pada paras semasa.
Indeks dolar AS kekal stabil pada 105.536 mata pada Rabu, selepas merosot kepada serendah 105.021 mata pada Jumaat lepas, selepas pengumuman senarai gaji bukan ladang AS untuk Oktober.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.1071/1106 daripada 3.1045/1087 pada penutupan semalam, susut berbanding euro kepada 5.0207/0261 daripada 4.9917/9981, dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.7595/7656 daripada 5.7321/7394.
Nota tempatan itu juga diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4573/4612 daripada 3.4493/4540 pada Rabu, dan menyusut berbanding baht Thailand kepada 13.2019/2223 daripada 13.1453/1670 sebelumnya.
Ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.40 daripada 8.35/8.37, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 299.6/300.1 daripada 298.9/299.5 pada penutup semalam. – UTUSAN










