Pos Malaysia perluas rangkaian kedai serbaneka Pos Shop

Pos Malaysia perluas rangkaian kedai serbaneka Pos Shop

MAJLIS pembukaan Pos Shop di Brickfields, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pos Malaysia bercadang membuka sembilan lagi kedai serbaneka Pos Shop di Pahang, Selangor, Johor dan Melaka menjelang akhir tahun ini.

Ia bagi menawarkan pengalaman dalam kedai dan kemudahan runcit yang menarik sambil berkhidmat kepada komuniti di seluruh Malaysia.

Setakat ini, Pos Malaysia telah membuka dua kedai serbaneka Pos Shop iaitu di Medan Tuanku pada Mei, dan terbaharu, di Brickfields dilancarkan semalam.

Pos Shop baharu itu bersepadu dengan Pos Laju Brickfields yang sedia ada, merangkumi lebih 1,100 kaki persegi ruang runcit.

Antara tambahan istimewa untuk cawangan Pos Shop Brickfields adalah pengenalan Pos Kafe, yang menawarkan pelanggan pelbagai makanan dan minuman sedia dimakan (RTE) di ruang makan selesa yang disediakan atau dibawa pulang.

Ketua Pegawai Transformasi dan Digital Kumpulan Pos Malaysia, Sumesh Rahavendra berkata, Kumpulan sangat gembira dengan maklum balas positif yang diterima daripada pembukaan Pos Shop pertama di Medan Tuanku.

“Kami yakin cawangan kedua ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat. Dengan pengenalan Pos Kafe dalam Pos Shop, para pelanggan kini boleh menikmati makanan dan minuman yang disediakan segar setiap hari.

“Pilihan makanan yang tersedia ada dan mudah dijamu memudahkan pelanggan berikutan jadual harian mereka yang sibuk,” katanya dalam kenyataan.

Rahavendra berkata, dalam perjalanan transformasi Pos Malaysia yang berterusan, Kumpulan komited untuk menyampaikan konsep peruncitan inovatif yang memberikan nilai tambah untuk para pelanggan.

Beliau berkata, Kumpulan sedang meningkatkan ruang runcit yang luas untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan dan kemudahan kepada rakyat.

“Sebagai sebuah organisasi yang bersemangat dalam membina kepercayaan untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang, kami berazam untuk menyampaikan khidmat kepada komuniti setempat melewati batasan transaksi pos tradisional,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×