PETALING JAYA: Plenitude Berhad merekodkan pendapatan sebanyak RM361.7 juta bagi tahun kewangan 2023 (TK2023) dipacu oleh setor hartanah dan hospitaliti.
Menurut syarikat itu, prestasi kukuh berkenaan didorong oleh pendapatan memberangsangkan daripada penjualan hartanah teres, kadar penginapan di rangkaian hotel yang lebih tinggi serta peningkatan kadar purata sewa bilik.
Berikutan keputusan kewangan itu, Kumpulan mencadangkan dividen peringkat tunggal sebanyak 3.0 sen sesaham, semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) semalam.
“Pendorong utama pendapatan ini diperolehi sebahagian besarnya dari sektor pembangunan hartanahnya, dengan sumbangan pendapatan sebanyak RM 219.0 juta, membentuk 60 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan Kumpulan.
“Bahagian hospitaliti pula merekodkan pendapatan sebanyak RM136.9 juta, dan baki RM5.8 juta pula diperolehi melalui pendapatan sewaan dari pelaburan hartanah dan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam sekuriti ekuiti tersenarai,” katanya dalam kenyataan.
Tambah syarikat itu, sebahagian besar daripada pendapatan bahagian hartanah TK2023, iaitu sebanyak 55 peratus, berjumlah RM 120.0 juta, diraih daripada projek Taman Desa Tebrau di Johor Bahru, Johor. Ia sekaligus membuktikan peranan utamanya dalam prestasi kewangan syarikat.
Sementara itu, Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Plenitude, Elsie Chua berkata, dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri pembangunan hartanah, Syarikat yakin dan komited untuk membawa lebih banyak projek dan pembangunan berkualiti di kawasan Utara, Tengah, dan Selatan negara.
“Kami telah berjaya melonjakkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 39 peratus iaitu RM58.6 juta dalam TK2023 yang merupakan suatu peningkatan signifikan berbanding RM42.3 juta dalam TK2022.
“Tambahan pula dengan adanya simpanan tanah semasa seluas 1,127 ekar, kami amat bersemangat untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ini,” katanya.
Dalam TK 2023, bahagian hotel Kumpulan juga mengalami peningkatan pendapatan yang luar biasa, iaitu tiga kali ganda daripada RM47.5 juta dalam TK2022 kepada RM 136.9 juta.
Pendapatan hotel Plenitude diraih sama rata daripada bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia dan daripada aset luar negara seperti di Seoul, Korea Selatan, dan Osaka, Jepun.
Chua berkata, prestasi cemerlang dalam bahagian hotel adalah hasil daripada peningkatan aktiviti pelancongan, terutamanya di destinasi pelancongan utama di bandar besar di seluruh rantau ini.
Mengorak langkah ke hadapan, Plenitude kataya, tetap komited untuk memperkasakan portfolio hospitalitinya.
“Pemilikan hotel di lokasi strategik memberi kami perlindungan daripada inflasi dan meningkatkan keuntungan operasi. Ini terlihat dalam akuisisi terkini kami, termasuk resort pantai empat bintang di Langkawi dan hotel 13 tingkat di Seoul, Korea Selatan,” tambah beliau.
Di sebalik keputusan yang memberangsangkan itu, Plenitude mengakui bahawa cabaran global semasa dan landskap ekonomi domestik yang lesu dapat dilihat daripada kebimbangan berterusan tentang kadar inflasi, peningkatan perbelanjaan pembinaan, kekurangan tenaga buruh, ketegangan geopolitik, dan ketidaktentuan yang meningkat dalam pasaran kewangan.
“Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, Plenitude akan terus menitikberatkan kos pembinaan dan perbelanjaan dan memberi tumpuan kepada keuntungan Kumpulan demi mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh sambil memastikan operasi perniagaan yang mampan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










