PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM23.9 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2023, susut berbanding RM30.8 bilion yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Menurut kenyataan Petronas, prestasi kurang memberangsangkan tersebut disebabkan oleh penurunan harga tenaga, sebahagiannya diimbangi oleh volum jualan yang lebih tinggi untuk produk utama.
Pada suku sama, Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) dicatatkan pada RM33.3 bilion berbanding RM47.5 bilion pada bagi tempoh sama 2022.
Perolehan pula susut kepada RM82.9 bilion daripada RM98.9 bilion bagi suku yang sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama pula, PAT Kumpulan jatuh sebanyak RM13.1 bilion kepada RM64.1 bilion daripada RM77.2 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, pendapatan bagi tempoh sama dicatatkan pada RM251.9 bilion, jatuh RM17.5 bilion daripada RM269.4 bilion pada tahun sebelumnya.
Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM432.4 bilion pada 30 September 2023 daripada RM401.6 bilion pada 31 Disember 2022, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham yang direkodkan.
Tambahnya, ia juga kesan menggalakkan daripada pertukaran asing dalam tempoh tersebut, sebahagiannya diimbangi oleh dividen yang diisytiharkan kepada Kerajaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi Petronas pada suku ketiga menunjukkan penyampaian fokus strategi peralihan tenaga syarikat walaupun pasaran tenaga tidak menentu.
“Kami terus melabur semula dengan berdisiplin dalam perniagaan teras dan baharu kami, menggandakan usaha untuk memastikan keselamatan bekalan tenaga untuk Malaysia dan pelanggan kami di seluruh dunia.
“Sehingga kini, kami berada di landasan yang betul untuk mencapai penggunaan penuh 20 peratus perbelanjaan modal (capex) untuk mempergiatkan penyahkarbonan operasi kami dan pertumbuhan dalam perniagaan baharu,” ujarnya.
Mengulas mengenai prospek, Petronas berkata, ketidaktentuan harga minyak dan gas dijangka meningkat berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan dan kebimbangan yang meningkat terhadap keselamatan tenaga global di tengah-tengah ketegangan geopolitik di Asia Barat.
“Berdasarkan latar belakang ini, Petronas menjangkakan keuntungan yang lebih rendah berbanding tahun lepas.
“Namun begitu, Petronas akan terus memperkukuh kecemerlangan operasi dalam perniagaan terasnya sambil mempergiatkan agenda pertumbuhan dan kemampanan di Malaysia dan antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN










