Permintaan dalam sektor tenaga dijangka meningkat 

Permintaan dalam sektor tenaga dijangka meningkat 

NIK Nazmi Nik Ahmad melawat tapak pameran pada majlis pelancaran Pelan Kemampanan Perniagaan Gas Malaysia di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Permintaan dalam sektor tenaga diunjur meningkat sebanyak dua peratus setiap tahun sehingga 2050, sejajar dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi dan penduduk, ditambah pula dengan pembandaran pesat.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sektor tenaga sebelum ini menyumbang kira-kira 28 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji 25 peratus daripada tenaga kerja negara.

Katanya, sektor itu `berdiri’ sebagai sumber asas pendapatan negara, dengan produk berkaitan petroleum menyumbang 31 peratus daripada hasil fiskal dan eksport tenaga mewakili 13 peratus daripada jumlah nilai eksport.

“Kami kekal komited untuk meneroka kaedah pelaksanaan yang sesuai untuk menarik pelaburan dalam kapasiti tenaga boleh baharu. Peralihan ke arah sumber tenaga boleh baharu membuka pelbagai prospek ekonomi.

“Ia bukan sahaja sejajar dengan aspirasi kemampanan negara tetapi juga memupuk kepelbagaian ekonomi dan penciptaan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama majlis pelancaran Pelan Kemampanan Perniagaan Gas Malaysia di Pusat Konvensyen Setia City di sini.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, pihaknya gembira dengan langkah Gas Malaysia memulakan perjalanan untuk menyelaraskan strategi perniagaan dan inisiatif kemampanan, sejajar dengan agenda dan komitmen negara untuk masa depan yang mampan.

Jelasnya, kerajaan amat menggalakkan penglibatan berterusan daripada sektor perindustrian dalam memperkukuh usaha untuk mencapai ekonomi yang mampan.

“Hasrat strategik Gas Malaysia untuk mewujudkan kehadiran yang besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui melalui biometana menunjukkan sinergi antara sektor awam dan swasta yang patut diusahakan lagi.

“Saya optimis dan bersemangat tentang potensi yang wujud dalam kerjasama ini dan saya menjangkakan kemajuan yang berterusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN