PETALING JAYA: Pendapatan e-dagang Malaysia meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun kepada RM289.5 bilion pada suku ketiga 2023, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malays (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bagi pertumbuhan suku tahunan, pendapatan e-dagang mengekalkan trend positif dengan peningkatan 3.2 peratus.
Menurut beliau, teknologi komunukasi maklumat (ICT) dan e-dagang menjana nilai ditambah RM412.3 bilion pada 2022 (2021: RM359.3 bilion) dengan pertumbuhan 14.8 peratus (2021: 12.2 peratus).
Beliau berkata, sumbangan ICT dan e-dagang kepada ekonomi negara mencapai 23.0 peratus berbanding 23.2 peratus pada 2021. Prestasi itu disumbangkan oleh Nilai Ditambah Kasar Industri TMK (NDKTMK) 13.6 peratus, manakala e-dagang industri lain, 9.4 peratus.
Katanya, bagi pecahan pendapatan e-dagang mengikut segmen pasaran pada 2021, hasil yang dijana daripada pasaran domestik mengatasi pasaran antarabangsa berjumlah RM932.7 bilion dan merangkumi 89.9 peratus sumbangan.
Sebaliknya, sumbangan kepada pasaran antarabangsa berjumlah RM104.5 bilion, menyumbang 10.1 peratus, katanya.
“Sementara itu, pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui Business to Business (B2B) mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM713.1 bilion dengan sumbangan 68.8 peratus, diikuti Business to Consumer (B2C) RM308.9 bilion (29.8 peratus) dan Business to Government (B2G) RM15.2 bilion (1.5 peratus),” kata beliau lagi dalam kenyataan.
Mohd. Uzir menambah, perkhidmatan ICT terdiri daripada aktiviti penerbitan; perkhidmatan wayang gambar, video dan program televisyen, rakaman bunyi & penerbitan muzik; pemprograman dan penyiaran; perkhidmatan telekomunikasi; pengaturcaraan komputer, perundingan dan aktiviti berkaitan serta perkhidmatan maklumat, mencatatkan nilai output kasar RM182.2 bilion pada 2021, mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus berbanding 2020.
Selaras dengan pertumbuhan nilai output kasar katanya, nilai input perantaraan turut meningkat sebanyak RM4.6 bilion untuk mencatatkan RM87.4 billion, seterusnya menghasilkan nilai ditambah RM94.8 bilion pada 2021.
Di samping itu, sebanyak 93.8 peratus pertubuhan menggunakan komputer dan 90.6 peratus pertubuhan mengakses internet pada 2021.
“WP Putrajaya kekal merekodkan kadar penggunaan komputer dan internet oleh pertubuhan tertinggi, kedua-duanya mencatatkan 100 peratus.
“Pada 2022, peratusan penggunaan komputer oleh individu adalah 80.2 peratus dan akses kepada internet adalah 97.4 peratus. WP Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi penggunaan komputer dan akses kepada internet oleh individu, masing-masing 97.0 peratus dan 99.9 peratus,” jelas beliau. – UTUSAN










