PETALING JAYA: Kerajaan akan bekerjasama dengan bank dan industri kewangan untuk membangunkan pembiayaan peralihan dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan pembiayaan projek yang berbentuk peralihan tenaga.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini kerana ada sesetangah projek yang tidak layak untuk mendapatkan pembiayaan hijau tetapi menyokong ke arah peralihan tenaga.
Beliau mengambil contoh seperti masuk peralatan untuk meningkatkan kecekapan tenaga yang mungkin tidak lulus untuk penilaian pembiayaan sebagai projek hijau.
“Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2 bilion sebagai dana awal bagi Fasiliti Peralihan Tenaga Negara. Jadi kementerian saya akan bekerjasama dengan bank dan institusi kewangan untuk melihat berapa dari dana tersebut akan digunakan atau jenis pembiayaan yang sesuai.
“Kami juga berharap institusi kewangan dan bank boleh turut menyumbang kepada dana ini sebagai timbal balas dalam menyokong peralihan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perbankan dan Kewangan ASLI 2023 di Sunway Resort Hotel di sini semalam.
Rafizi berkata, bagi membolehkan peralihan tenaga mencapai objektinya, negara perlu membangunkan ekosistem yang terangkum dan bukan sahaja projek hijau akhir sahaja.
“Sebaliknya, perlu ada industri yang membolehkan dan menyumbang kepada projek tersebut, yang tidak semestinya solar, tetapi mereka adalah industri sokongan yang merupakan sebahagian daripada pembiayaan peralihan.
“Sebagai contohnya, projek hidrogen. Hidrogen kemungkinan besar tidak akan melepasi penilaian standard perbankan dari segi pulangan,” ujarnya.
Beliau berkata, dengan memanfaatkan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui ini, industri kewangan Malaysia mempunyai peluang sekali dalam satu generasi untuk menangkap segmen besar dalam rantaian nilai peralihan.
“Ini termasuk memperluaskan penyimpanan jam gigawatt, meningkatkan kapasiti pemasangan fotovotaik (PV) dan bilangan kereta elektrik di seluruh negara,” jelasnya. – UTUSAN










