PETALING JAYA: Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut dengan jumlah RM382.8 juta, kata MIDF Research.
Menurut Laporan Aliran Dananya minggu berakhir 24 November, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM172.4 juta pada minggu sebelumnya.
Katanya, pelabur asing membeli bersih setiap hari pada minggu tersebut dengan aliran masuk tertinggi pada hari Selasa pada RM232.6 juta.
“Mereka juga membeli bersih RM6.5 juta pada Isnin, RM36.6 juta pada Rabu, RM74.0 pada Khamis dan RM33.1 juta pada Jumaat.
“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM86.4 juta), penjagaan kesihatan (RM85.2 juta) dan teknologi (RM82.0 juta).
“Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM38.9 juta), tenaga (RM21.2 juta) serta telekomunikasi dan media (RM20.1 juta),” kata laporan tersebut.
MIDF Research berkata, institusi tempatan terus mencatat jualan bersih untuk minggu keempat berturut-turut, dengan melupuskan RM355.0 juta ekuiti.
“Mereka menjual bersih sebanyak RM11.0 juta pada Isnin tetapi menjadi penjual bersih dari Selasa hingga Jumaat,” ujarnya.
Dalam pada itu, peruncit tempatan meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan jualan bersih berjumlah RM27.8 juta.
“Mereka merupakan pembeli bersih ekuiti pada Rabu dengan sejumlah RM24.6 juta tetapi menjadi penjual bersih untuk baki minggu berkenaan,” jelasnya.
Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 4.9 peratus dan institusi tempatan 9.8 peratus, tetapi penurunan dalam kalangan pelabur asing sebanyak 5.4 peratus. – UTUSAN