PETALING JAYA: Paramount Corporation Berhad mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM31.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, susut 24 peratus daripada RM41.9 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Menurut kenyataannya, BPT yang lebih rendah disebabkan oleh ketiadaan keuntungan bersih RM15 juta daripada penjualan aset bukan teras Kumpulan pada suku ketiga 2022.
Sehubungan itu, keuntungan Kumpulan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham pada RM18.9 juta juga 30 peratus lebih rendah berbanding suku ketiga 2022 sebanyak RM27.2 juta.
Bagi tempoh yang sama, Syarikat merekodkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 15 peratus kepada RM266.8 juta daripada tempoh sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew berkata, prestasi kewangan suku ketiga 2023 sebenarnya lebih baik daripada tempoh yang sama tahun lepas, jika penjualan aset bukan teras dikecualikan pada suku ketiga 2022.
“Kedua-dua bahagian hartanah dan ‘coworking’ Paramount telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil dari tahun ke tahun pada suku ketiga.
“Bahagian hartanah mencatatkan hasil 14 peratus lebih tinggi pada RM256.5 juta (S32022: RM225 juta) dan PBT 21 peratus lebih tinggi pada RM37.7 juta (S32022: RM 31.2 juta),” katanya di sini hari ini.
Bagi sembilan bulan pertama 2023 (9B23) pula, Paramount mencatatkan pertumbuhan 27 peratus PBT kepada RM91.9 juta berbanding RM72.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan pendapatan sebanyak 17 peratus bagi tempoh tersebut kepada RM702.9 juta adalah rekod tertinggi dalam sejarah Paramount.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kami telah pulih sepenuhnya daripada pandemik dan mengisi jurang yang dicipta oleh pelupusan perniagaan pendidikan,” jelasnya.
Jeffrey berkata, prestasi kewangan Kumpulan dijangka memuaskan pada baki suku tahun kewangan untuk menghasilkan pertumbuhan kukuh dalam tahun ini. – UTUSAN










