NCIA, kerajaan Kedah realisasi pelaburan RM7.7 bilion

NCIA, kerajaan Kedah realisasi pelaburan RM7.7 bilion

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) mempengerusikan Mesyuarat JPN di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama-sama Kerajaan Negeri Kedah merealisasikan pelaburan sebanyak RM7.7 bi­lion dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Pelaburan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi itu diterajui oleh sektor pembuatan, diikuti oleh sektor pelancongan, logistik, pertanian, dan ekonomi digital yang membuka hampir 3,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, komitmen NCIA untuk memajukan inovasi, memupuk bakat tempatan dan mempromosikan pelaburan mampan dalam keusahawanan adalah penting dalam membantu Kedah menjadi sebuah negeri maju pada masa depan.

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada NCIA atas dedikasi mereka memacu pertumbuhan ekonomi dan pemba­ngunan di Kedah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Kedah di Wisma Darul Aman, semalam.

Mesyuarat JPN membincangkan perancangan penting dalam pelaburan dan pembangunan di Kedah, selain turut menyentuh kemajuan projek-projek yang sedang dilaksanakan.

Pembangunan modal insan adalah bahagian penting dalam strategi NCIA dalam memacu pembangunan sosio ekonomi dan meningkatkan eko sistem di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), khususnya untuk rakyat Kedah menerusi program Dana Usahawan (DU@NCER) dan Program Peningkatan Bakat NCER (NTEP).

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, memupuk bakat tempatan bukan ha­nya mengenai pemerolehan kemahiran tetapi turut menyemai minda keusahawanan yang menyumbang secara proaktif kepada kerancakan ekonomi Kedah dan NCER secara keseluruhan.

“Melabur dalam bakat dan memupuk keusahawanan adalah langkah strategik menyediakan tenaga kerja tempatan dan ia bukan sahaja untuk mengisi peranan pekerjaan tetapi menjadi pencipta, inovator dan menjalankan perniagaan sendiri,” katanya.
Sejak 2019, program pemba­ngunan modal insan NCIA telah membantu lebih 19,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Kedah, menghasilkan lebih 2,300 pekerjaan baharu.

Tumpuan juga diberikan untuk meningkatkan ekosistem NCER dengan menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) kepada 6,248 peserta dengan 1,826 daripadanya menerima latihan berkemahiran tinggi, manakala bakinya dilatih pada tahap separuh mahir.

Terdahulu, Muhammad Sanusi turut menyampaikan Surat Pemberian (LoG) kepada empat syarikat di bawah inisiatif DU@NCER dan NTEP di Kedah antaranya kepada Langkawi Skywalk Sdn. Bhd., yang akan membangunkan ’The World’s Longest Free-standing Cantilever Glass Skywalk’ sepanjang 38 meter pada ketinggian 645 meter dari aras laut.

Pengendali resort Hangouts Urban + Eco Langkawi iaitu SMS Retreat Company Sdn. Bhd. pula bercadang menambah kapasiti tawaran bilik dalam segmen keluarga sementara syarikat Chenang Prima Resort Sdn. Bhd. menerima LoG bagi mengembangkan jenama Royale mereka melalui perkongsian pintar dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Dalam pada itu, syarikat PFCE Integrated Plant and Project Sdn. Bhd. (PFCE) telah dianugerahkan LoG untuk projek pembangunan pelancongan bersepadu baharu di Bandar Kuah, Langkawi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×