Melaka perlu sokongan Persekutuan majukan M-WEZ

Melaka perlu sokongan Persekutuan majukan M-WEZ

AB. RAUF Yusoh (empat dari kanan) bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (tiga dari kanan) pada Mesyuarat JBI Dengan Kerajaan Negeri di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri memerlukan sokongan kerajaan Persekutuan bagi memastikan segala perancangan dibuat berjalan lancar terutama dalam memajukan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia penting dalam merealisasikan kawasan zon ekonomi itu sebagai bandar baharu.

Kata beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberikan keputusan positif, ketika Melaka sedang giat memperkenalkan kawasan-kawasan perindustrian baharu.

“Saya melihat Mesyuarat JBI hari ini memberikan satu keputusan baik untuk Melaka mengorak langkah memperkenalkan kawasan industri baharu. Ia juga memastikan perancangan dibuat kerajaan negeri mendapat sokongan kerajaan Persekutuan dan semua agensi-agensi yang terlibat terutama dalam memajukan M-WEZ.

“Kita juga membentangkan (rancangan) 2,023 hektar kawasan perindustrian baharu iaitu MCorp Desa Park di Masjid Tanah. Kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan pihak swasta bagi memajukan perkara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Jawatankuasa Bersama JBI Dengan Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, jumlah pelaburan syarikat Jerman di Melaka akan meningkat kepada 10 entiti berbanding lapan syarikat ketika ini menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, Dewan Perniagaan Jerman turut bersetuju menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan syarikat dari negara itu.

“Kejayaan sebuah syarikat konglomerat yang telah melabur di Melaka selama lebih 50 tahun telah dijadikan rujukan sebagai kejayaan negeri ini. Jadi syarikat-syarikat Jerman melihat Melaka sebagai destinasi untuk mereka kembangkan lagi pelaburan dan pemindahan teknologi ke negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN