PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama tiga rakan strategik iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) bertujuan menggalakkan pendigitalan sektor kesihatan dan memperkasa komuniti.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerjasama yang terjalin diharap dapat meningkatkan keterlibatan lebih ramai anggota masyarakat dalam bidang ekonomi digital.
“Salah satu perkara yang kita ingin lakukan adalah memaksimumkan penggunaan PEDi ini untuk membantu warga Felda terlibat dalam ekonomi digital, terdapat 150 PEDi di skim-skim Felda yang akan meningkatkan cara penggunaan pembayaran tanpa tunai.
“Manakala bagi MMA dan MPS, telah diumumkan sebelum ini oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 13 Oktober lalu mengenai geran bagi usahawan mikro, kecil dan sederhana (MSME) iaitu maksimum RM5,000 bagi setiap permohonan.
“Justeru, terdapat 12,000 MSME yang akan menerima manfaat daripada geran tersebut dan (MoU ini) adalah ke arah usaha untuk meningkatkan pendigitalan bagi MSME khususnya yang berada di bawah MMA dan MPS,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pertukaran MoU di antara MCMC dengan Felda, MMA dan MPS sempena Persidangan PEDi Madani 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Teo Nie Ching dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Melalui kerjasama tersebut, MCMC bersama tiga rakan strategiknya akan membantu komuniti masing-masing untuk menyesuaikan diri dengan landskap digital yang sentiasa berubah, sejajar dengan ketersediaan PEDi sebagai pemangkin ekonomi digital.
MCMC dan Felda akan menjalin kerjasama melalui Kempen Komuniti Pintar yang menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui PEDi di kawasan-kawasan Felda.
Manakala, pertukaran MoU di antara MCMC dengan MMA dan MPS dijangka akan merancakkan lagi pendigitalan di klinik serta farmasi komuniti swasta melalui Geran Digital Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani dan Kertas Putih Perubatan. – UTUSAN










