PETALING JAYA: Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan pelaksana projek Selangor Maritime Gateway (SMG), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan The Ocean Cleanup untuk mewujudkan pusat pengasingan sisa plastik sungai di Sungai Klang.
MoU itu turut melibatkan syarikat minuman, Coca-Cola, bertujuan memacu penyelesaian pembersihan sungai secara menyeluruh, sekaligus mendorong ekonomi kitaran di Malaysia melalui pemulihan dan peremajaan Sungai Klang.
Pengumuman terbaharu itu merupakan pencapaian penting bagi kedua-dua pihak dalam memperluaskan kerjasama dan meningkatkan solusi pengurusan Sungai Klang.
Sebagai sebahagian daripada usaha global, projek SMG akan merintis penyediaan pusat pengasingan plastik yang pertama seumpamanya di Malaysia dari The Ocean Cleanup dengan reka bentuk dan pembinaannya dibiayai oleh syarikat Coca-Cola.
Sebagai permulaan, LLSB akan mengendalikan pusat pengasingan plastik yang dibina dan dipasang secara tempatan itu dengan mengasingkan sisa sampah yang dikumpul daripada Interceptor 002 manakala, The Ocean Cleanup pula akan membantu dalam membangunkan strategi pengurusan sisa sampah yang bersesuaian dalam tempoh tiga tahun, dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2024.
Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin berkata, kemudahan pusat pengasingan sisa plastik itu langkah yang sangat penting dalam komitmen Syarikat ke arah pengurangan sisa plastik ke tapak pelupusan melalui strategi pengurusan sisa sampah secara bersasar.
“Ini akan menjadi satu usaha jitu dan merupakan idea penyelesaian jangka panjang kami untuk mewujudkan ekonomi kitaran di bawah Pengurusan Sumber Air Bersepadu SMG untuk Sungai Klang,” katanya dalam kenyataan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat pula berkata, sebagai organisasi yang tidak berasaskan keuntungan dari Belanda, kerjasama itu mengulangi misi lebih besar mereka untuk menangani masalah 1,000 sungai di seluruh dunia dengan membendung 80 peratus daripada aliran pencemaran plastik sungai dari masuk ke lautan.
“Keberkesanan penyingkiran sisa plastik serta kecekapan model ujian yang dicapai di Sungai Klang melalui kerjasama dengan LLSB merupakan satu kepuasan dan kita mesti menghalang sisa sampah, terutamanya plastik daripada memasuki alam sekitar, sama ada dengan mencipta produk-produk baharu yang tahan lebih lama atau menggunakannya kembali secara kitar semula.
“Atas kesefahaman itu, kerjasama kami dengan LLSB untuk menyediakan kemudahan pusat pengasingan ini adalah lanjutan kepada jalinan kerjasama selama ini dalam membersihkan Sungai Klang di mana akhirnya matlamat kami adalah untuk merapatkan jurang antara pengumpulan sampah dan proses kitar semula.
“The Ocean Cleanup sangat berhasrat untuk memanfaatkan kerjasama ini untuk mengurangkan sampah ke tapak pelupusan dan meningkatkan keupayaan kitar semula plastik pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kelestarian dan Perkongsian di Coca-Cola ASEAN dan Pasifik Selatan, Kirsten van Zandwijk pula menjelaskan, Syarikat telah bekerjasama dengan The Ocean Cleanup selama lebih dua tahun ke arah matlamat bersama membantu menghapuskan sisa sampah daripada sungai.
“Sebagai sebahagian daripada jalinan kerjasama ini kami meneruskan sokongan di Malaysia untuk membantu membangunkan solusi pengurusan sisa sampah yang lebih baik bagi sisa yang dikumpul melalui Interceptor 002. Kami berharap pembelajaran daripada model ini boleh direplikasi merentasi penggunaan Interceptor lain yang kami sokong di Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN











