PETALING JAYA: Lagenda Properties Berhad (Lagenda Properties) melaporkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM38.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2023 berbanding RM35.7 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Pemaju perumahan mampu milik dan perbandaran bersepadu dalam kenyataannya berkata, pada suku yang sama syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM217.9 juta, peningkatan 21 peratus berbanding RM180.7 juta yang dicapai dalam tempoh yang sama 2022.
Menurutnya, pertumbuhan hasil didorong oleh peningkatan aktiviti pembinaan dan penukaran jualan daripada pelbagai projek, terutamanya Lagenda Teluk Intan 3A dan 3B serta Darulaman Lagenda (Kedah).
Syarikat itu berkata, jualan yang disahkan untuk sembilan bulan pertama mencecah RM796 juta, peningkatan luar biasa sebanyak 44 peratus daripada tempoh sama tahun sebelumnya dan mengatasi jumlah jualan yang disahkan untuk keseluruhan tahun kewangan 2022.
Jualan belum dibil pada 30 September 2023 berjumlah RM855.1 juta memberikan gambaran pada suku akan datang, manakala tempahan RM297.0 juta menunjukkan prospek yang mantap untuk jualan masa hadapan.
Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh berkata, keputusan suku ketiga itu mula menunjukkan trajektori positif setelah berjaya beralih kepada Sistem Bangunan Berindustri (IBS) untuk projek baharunya di Teluk Intan dan Kedah.
“Kami kini berada pada landasan betul untuk mencapai kemajuan yang dipercepatkan pada suku akan datang memandangkan aktiviti pembinaan terus meningkat.
“Dengan ini, kami menjangkakan jualan yang lebih akan pantas ini akan diterjemahkan dalam hasil dan keuntungan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, jualan yang telah disahkan adalah penunjuk utama untuk permintaan dan hasil masa hadapan dan syarikat mencapai rekod baharu untuk jualan yang disahkan pada suku ketiga 2023.
Tambahnya, momentum teguh ini dijangka berterusan sehingga 2024 dan seterusnya, didorong oleh tempahan yang tinggi untuk projek seperti Darulaman Lagenda (Kedah), Lagenda Teluk Intan (Perak) dan Lagenda Suria (Mersing).
Jelasnya, Bank tanah kosong syarikat yang cukup besar iaitu hampir 1,902 hektar dengan anggaran baki nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM12 bilion menyediakan kemampanan pertumbuhan jangka panjang. – UTUSAN










