ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mensasarkan transaksi jualan sehingga RM250,000 dalam kalangan usahawannya yang bakal menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD) Putrajaya 2023 bermula 22 November ini.
Pengurus Besarnya, Ismasuhaimi Shariff berkata, sebanyak 28 usahawan bimbingan agensi itu terpilih menyertai KUD yang kembali secara fizikal sejak tertangguh akibat penularan Covid-19 pada 2019.
“Sasaran kita adakah suku juta untuk usahawan KEDA selepas sebelum ini pada 2019 hampir RM200,000 dicatatkan. Apabila diadakan secara fizikal kita minta semua usahawan yang terpilih memastikan pembawaan mereka di sepanjang karnival itu adalah terbaik.
“Kita mengesyorkan konsep 3S iaitu, ‘Sapa, Senyum dan Sabar’. Peserta juga daripada kalangan usahawan yang mengeluarkan produk beridentitikan Kedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Usahawan Kedah Ke KUD@Putrajaya di sini, hari ini.
Sebanyak 1,000 usahawan luar bandar dari seluruh negara akan menyertai karnival berkenaan yang dijangka menarik kehadiran lebih sejuta pengunjung.
Menurut Ismasuhaimi, karnival tersebut juga akan menjadi platform kepada usahawannya yang berpotensi dalam mengenengahkan produk masing-masing di dalam dan luar negara.
“KEDA ketika ini membimbing lebih 300 usahawan. Kita nampak ada potensi besar untuk mereka pasarkan produk ke negara luar termasuk Indonesia dan Thailand dalam tempoh tiga atau lima tahun terutama produk yang mempunyai identiti Kedah.
“Jadi dari segi pemasaran, KEDA menekankan agar mereka peka kepada pengguna medium media sosial. Kita turut memberi bimbingan dalam perkara ini,” katanya. – UTUSAN










