Kawasan perindustrian baharu Melaka perlu selaras NIMP 2030

Kawasan perindustrian baharu Melaka perlu selaras NIMP 2030

TENGKU ZAFRUL Tengku Abdul Aziz (kanan) bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada Mesyuarat JBI Dengan Kerajaan Negeri di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kawasan-kawasan perindustrian baharu yang diketengahkan kerajaan negeri untuk dibangunkan di Melaka perlu diselaraskan dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi meningkatkan pertumbuhan industri dan menambah balik ekosistem pelaburan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, NIMP 2030 bersesuaian dengan cadangan diketengahkan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan perindustrian baharu MCORP Hi-Tech Park, German Industrial Park, Elkay Industrial Park Fasa Dua (ELKAY 2) serta mengiktiraf Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) sebagai Koridor Wilayah Ekonomi Negara.

Beliau berkata, inisiatif Melaka membangunkan kawasan perindustrian yang mampu menyokong ekosistem industri berteknologi tinggi, berinovasi dan menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi amat dialu-alukan kerana selari dengan visi dan matlamat NIMP 2030.

“NIMP 2030 juga telah dirangka antaranya bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan dalam pembangunan industri antara negeri-negeri di Malaysia, termasuk Melaka.

“Kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam membangunkan industri berdasarkan kekuatan ekonomi negeri dan bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kementerian Persekutuan yang lain untuk mengukuhkan kluster-kluster ekonomi yang akan menghasilkan kesan limpahan ekonomi lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Dengan Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, sejak awal tahun ini, MITI giat mengukuhkan suasana perindustrian dan pelaburan negara melalui pengenalan dasar-dasar baharu antaranya Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Industri Nasional (i-ESG).

Jelasnya, pihaknya peka dengan keperluan Melaka untuk membangunkan kawasan perindustrian baharu bagi membesarkan projek pelaburan sedia ada dan menarik pelaburan baharu.

“Saya berharap supaya kawasan-kawasan perindustrian baharu ini mengutamakan misi, strategi dan pelan tindakan yang telah digariskan dalam NIMP 2030 bagi membawa perubahan positif kepada sektor perindustrian Melaka.

“Selain mematuhi ESG i-ESG yang dilancarkan pada Oktober bagi membantu momentum peralihan negara kepada kemampanan dan pencapaian pelepasan karbon sifar bersih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN