Johor rekod jumlah perdagangan RM563.31 bilion

Johor rekod jumlah perdagangan RM563.31 bilion

LEE Ting Han (dua, kiri) menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Pengeksport Terbaik Negeri Johor dari Asia Food & Beverage Sdn. Bhd. sempena Hari Eksport Johor 2023. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan  prestasi perdagangan tertinggi di peringkat negeri dengan merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM563.31 bilion bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, angka itu menunjukkan Johor menyumbang sebanyak 29 peratus ke atas jumlah perdagangan negara iaitu RM1.941 trilion.

Beliau berkata, Johor penyumbang utama kepada jumlah perdagangan negara diikuti oleh Selangor dengan RM561.85 bilion, Pulau Pinang (RM530.07 bilion) dan Sarawak (RM103.26 bilion).

Katanya, daripada jumlah perdagangan negeri ini setakat September lalu, RM314.06 bilion membabitkan nilai eksport dan nilai import yang direkodkan adalah RM249.25 bilion.

“Antara produk eksport utama yang menjadi menyumbang adalah petroleum (refine petroleum), papan litar bersepadu (integrated circuit) serta elektrik dan elektronik (E&E).

“Produk ini merupakan antara kekuatan Johor, sebab kita boleh menampung pelbagai aktiviti ekonomi, berbanding sesetengah negeri yang tumpu sesetengah produk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Eksport Johor 2023, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof.

Ting Han berkata, berdasarkan statistik sehingga September lalu, jumlah perdagangan melalui negeri Johor merekodkan penurunan sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM605.98 bilion.

Tambahnya, nilai eksport negeri Johor turut mencatatkan penurunan sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM336.76 bilion.

Menurutnya, kerajaan negeri setakat ini tidak meletakkan sasaran jumlah perdagangan bagi tahun ini berikutan kelembapan ekonomi global ketika ini, namun optimis Johor mampu mengekalkan kedudukan itu.

“Untuk kita capai jumlah perdagangan seperti tahun lepas agak mencabar, sebab pasaran global agak susah (akibat kelembapan ekonomi), tetapi kita harap yang terbaik,” katanya.

Sementara itu,  Abu Bakar  berkata, usahawan perlu bijak mengambil peluang meluaskan perniagaan ke pasaran antarabangsa dan tidak hanya bergantung kepada pasaran tempatan.

Beliau berkata, MATRADE bersedia memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran global menerusi 49 pejabat perdagangan yang terletak di seluruh dunia.

“Usahawan tidak boleh cuma bergantung hanya kepada pasaran domestik sahaja kerana pasaran kita kecil dan persaingan agak hebat kerana ramai yang mengeluarkan produk sama. Justeru, usahawan perlu mula teroka aktiviti eksport,”  katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×