PETALING JAYA: Industri kenderaan elektrik (EV) Malaysia masih cacamarba apabila masih tiada strategi dan langkah komprehensif untuk menyokong penggunaan pengangkutan tersebut.
Ini kerana, berlaku ketidakseimbangan antara pengeluaran kenderaan dan kemudahan pengecasan.
Buat masa kini Malaysia hanya mempunyai 1,063 stesen pengecas di seluruh negara sedangkan kerajaan menyasarkan 1.5 juta EV dalam negara menjelang 2040 menyebabkan rakyat bimbang keupayaan kenderaan itu untuk bergerak lebih jauh di negara ini.
Di samping itu, kenderaan EV masih dilihat ‘mesra orang kaya’ walaupun bersifat mesra alam sekitar, berikutan harga antara RM100,000 dan RM600,000 ke atas, dengan ansuran bulan sekitar RM1,400 hingga RM7,000, melebihi tahap kemampuan golongan M40 dan B40.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia, Prof. Ts Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussien berkata, ketiadaan satu strategi untuk menyokong penggunaan EV menyebabkan rakyat masih was-was terhadap masa depan pengangkutan tersebut, apatah lagi memilikinya untuk tempoh jangka panjang.
Katanya, meskipun kerajaan memfokuskan beberapa dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Dasar Pengangkutan Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu dengan menggariskan penggunaan EV, namun ia belum memadai melihat kepada keperluan undang-undang, infrastruktur dan kewujudan badan kawal selia.
“Misalnya, undang-undang, tiada satu akta digubal untuk memastikan penggunaan EV menepati keperluan peraturan jalan raya. Akta sedia ada bersifat konvensional, tidak merangkumi kenderaan elektrik yang lain daripada kereta menggunakan bahan api.
“Malah alat pengecas pun berbeza mengikut jenama kenderaan. Ini menimbulkan kebimbangan orang ramai untuk membeli EV. Mereka mempersoalkan adakah stesen pengecas berhampiran mempunyai alat pengecas sama? Perkara ini menimbulkan ketidakseragaman penggunaan EV di negara ini,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menyasarkan sejumlah 1.5 juta EV dalam negara menjelang 2040 susulan berlaku penghijrahan bagi infrastruktur EV di peringkat global, membabitkan pertukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang menggunakan petrol kepada elektrik.
Bagaimanapun sehingga tahun lalu, Statistik Pengangkutan Malaysia 2022 merekodkan hanya 4,309 pendaftaran kereta elektrik walaupun terdapat peningkatan sebanyak 306.9 peratus berbanding 2021 (1,059).
Mengulas lanjut, Muhammad Zaly berkata, pemberian pelbagai kemudahan EV seperti insentif pengecualian cukai jalan mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025 dan pengecualian duti import ke atas komponen untuk pemasangan masih belum cukup menyokong penggunaan pengangkutan itu untuk tempoh jangka panjang.
Katanya, pengguna perlu berdepan harga jualan EV yang masih tinggi di samping alat komponen dan bateri yang menelan kos agak tinggi.
“Jadi pengumuman insentif ini bersifat jangka pendek, jadi perlukan satu pemberian untuk menyokong bagi tempoh jangka panjang. Apatah lagi melihat kemampuan bekalan sokongan elektrik untuk penggunaan EV untuk masa akan datang,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar diwujudkan satu badan atau suruhanjaya untuk kawal selia EV bagi memastikan polisi dan dasar diketengahkan dapat dilaksanakan secara komprehensif.
“Sebelum ini kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memastikan syarikat telekomunikasi mematuhi piawaian ditetapkan, jadi perkara sama perlu dilakukan kepada EV agar tidak terjadi masalah cacamarba seperti berlaku sekarang,” katanya. – UTUSAN










