PETALING JAYA: Avaland Berhad (Avaland) (dahulunya dikenali sebagai MCT Berhad), menyaksikan lonjakan keuntungan bersih kepada RM17.2 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (S32023) daripada RM6.2 juta pada suku yang sama sebelumnya.
Hasil Kumpulan pula meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM156.2 juta daripada RM56.3 juta sebelum ini.
Menurut Avaland, prestasi yang lebih baik hasil daripada jualan yang kukuh dan kemajuan pembinaan yang sihat daripada projek berterusan Kumpulan, iaitu Aetas Damansara, Alira Subang Jaya, Sanderling dan Casa Embun.
Sementara itu, untuk sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2023 (9B2023), pendapatan Avaland meningkat lebih dua kali ganda kepada RM346.6 juta daripada RM148.4 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.
“Prestasi itu membolehkan Kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM25.2 juta pada 9M2023 daripada kerugian bersih RM7.6 juta dalam tempoh sepadan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Teh Heng Chong berkata, mwlaupun ekonomi dan cabaran pasaran dalam sembilan bulan pertama 2023 seperti ringgit yang lebih lemah dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi (Kadar Dasar Semalaman semasa pada 3 peratus berbanding 2.5 peratus pada September 22), Kumpulan mencatatkan prestasi yang lebih baik dengan hasil sebanyak RM156.2 juta, peningkatan 37.3 peratus daripada suku sebelumnya.
“Ia juga merupakan hasil tertinggi yang didaftarkan oleh Kumpulan kami sejak suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020,” jelasnya.
Tambahnya, Kumpulan kini menuai hasil daripada usaha penjenamaan semula yang dilakukan terutama membabitkan jualan yang mengekalkan trajektori menaik sebanyak RM428.5 juta pada 9M2023, peningkatan 78.7 peratus daripada jualan setahun penuh pada 2022.
Jelasnya, semua projek yang sedang berjalan telah mencatatkan pengambilan yang sihat kadar antara 70 peratus dan 95 peratus.
“Kami yakin dapat mencapai 100 peratus jualan apabila projek kami siap berdasarkan prestasi projek kami yang siap baru-baru ini,” katanya.
Pada 30 September 2023, jualan belum dibil Kumpulan meningkat 20.4 peratus kepada RM867 juta daripada RM720.2 juta pada 31 Disember 2022, memberikan Kumpulan pendapatan terlihat dalam beberapa tahun akan datang.
Mengenai rancangan dan prospek hadapan Kumpulan, Teh berkata, untuk meningkatkan pendapatan masa hadapan, Kumpulan merancang untuk melancarkan Amika Residences yang terletak bersebelahan Alira Subang Jaya, pada suku keempat 2023.
“Amika Residences adalah pembangunan berinspirasikan Jepun dengan 493 unit pangsapuri perkhidmatan dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM452.1 juta.
“Kami yakin projek baharu itu akan diterima baik oleh pasaran memandangkan bilangan pendaftar berkepentingan yang tinggi, lokasinya yang strategik, konsep dan reka bentuk unik untuk gaya hidup pasca pandemik,” katanya. – UTUSAN










