Hanya 23 koperasi sekolah jana pendapatan RM1 juta setahun 

Hanya 23 koperasi sekolah jana pendapatan RM1 juta setahun 

ZAMRI Salleh (barisan belakang, tengah) bersama sebahagian pemenangan pertandingan YESS 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berharap lebih banyak koperasi sekolah yang mampu menjana pendapatan RM1 juta setahun supaya sekolah dapat membantu murid yang memerlukan bantuan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh berkata, setakat ini, hanya 23 buah koperasi sekolah  di Malaysia yang pernah menjana pendapatan pada nilai tersebut.

Rekod Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menunjukkan, terdapat 2,481 buah koperasi sekolah sehingga tahun lalu.

Beliau berkata, koperasi tersebut antaranya Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Berhad, Koperasi Kolej Vokasional Tanah Merah Kelantan Berhad dan Koperasi MRSM Kepala Batas Pulau Pinang Berhad.

“Model perniagaan yang dilaksanakan oleh koperasi ini boleh dijadikan contoh oleh koperasi sekolah lain dalam usaha meningkatkan perolehan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan program Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) peringkat kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Selain merujuk modal perniagaan, beliau menggalakkan koperasi sekolah untuk memperluaskan skop perniagaan seperti menceburi bidang perkhidmatan dobi, pertanian, dan tidak terikat dengan perniagaan di dalam sekolah semata-mata.

Kata Zamri, dengan cara itu koperasi sekolah mampu berjaya seperti koperasi besar yang ada di negara ini.

“Baru-baru ini, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah melancarkan Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia dan kita dapati belum ada koperasi sekolah yang tersenarai dalam indeks tersebut.

“Jadi saya harap akan ada koperasi sekolah yang berada dalam indeks itu, namun ia mungkin ambil masa sedikit kerana koperasi sekolah berada dalam kluster mikro dan kecil,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar berkata, terdapat 2,481 buah koperasi sekolah sehingga tahun lalu.

Menurutnya, pendapatan keseluruhan kesemua koperasi berkenaan adalah RM298.8 juta dengan jumlah keahlian seramai 2.01 juta orang.

“Sebanyak 130 buah koperasi sekolah dari seluruh negara menyertai YESS kali ini. Kesemua peserta telah mempersembahkan produk serta program perkhidmatan yang ingin mereka sediakan pada pertandingan kali ini,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN