SHAH ALAM: Gas Malaysia Berhad, syarikat di bawah MMC Group memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sekitar RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion untuk membina saluran paip gas baharu di Semanjung Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, pembinaan saluran paip gas sepanjang 700 hingga 800 kilometer (km) tersebut adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan perniagaan teras Kumpulan dengan menambah tenaga kerja dan infrastruktur dalam usaha mengembangkan pangkalan pelanggan.
Katanya, gas asli terus relevan sebagai bahan api peralihan ke arah negara rendah karbon kerana bahan api fosil ini yang paling bersih dan membebaskan karbon pada kadar lebih rendah, meskipun ketika industri mula diperkenalkan dengan pelbagai pilihan tenaga boleh baharu (RE).
“Lebih 30 tahun kami dalam industri, syarikat sudah memiliki saluran paip gas sepanjang 2,800 km di Semenjung Malaysia.
“Kebanyakan saluran paip gas ini di kawasan perindustrian. Selain itu, kami turut membekalkan gas kepada kawasan komersial dan kediaman,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Kemampanan Perniagaan Gas Malaysia di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pelan tersebut antara lain mengetengahkan usaha Kumpulan untuk menukarkan keseluruhan kira-kira 130 kenderaan sedia ada kepada kenderaan elektrik (EV) menjelang 2032, selain membina sistem solar atas bumbung di semua pejabatnya secara berperingkat.
Sementara itu, Ahmad Hashimi berkata, pihaknya turut melihat kepada sumber tenaga lain seperti hidrogen, metanol dan ammonia, namun masih pada peringkat awal.
Bagaimanapun, pihaknya kini teruja dengan perkembangan perniagaan biometana dan Gas Malaysia kini telah membina dua stesen biometana di Johor dan menyuntik gas tersebut ke dalam saluran pengedaran gasnya.
“Jadi, gas yang sampai kepada pengguna akhir memiliki elemen kecil biometana, yang mana ianya bersifat hijau dan bersih.
“Kami akan melaksanakan dua tapak lagi sebelum separuh tahun pertama 2024, setiap tahun kami akan menggandakan jumlah stesen biometana kami untuk tempoh beberapa tahun akan datang yang melibatkan pelaburan antara RM15 dan 20 juta bagi setiap tapak.
“Kami percaya Gas Malaysia merupakan peneraju dalam bidang ini dan kami akan terus berhubung dengan kerajaan serta pihak berkuasa bagi memastikan kami beroleh sokongan mencukupi dalam dan mungkin akan ada beberapa insentif pada masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN










