Funding Societies jalin kerjasama strategik bersama HDC

Funding Societies jalin kerjasama strategik bersama HDC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Funding Societies, platform kewangan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersepadu terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara, menjalinkan kerjasama strategik bersama Halal Development Corporation Berhad (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI).

Kerjasama ini bertujuan menyediakan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) halal akses kepada pembiayaan digital patuh syariah bagi memperkukuhkan pembangunan ekosistem halal negara.

Selain itu, kerjasama bertujuan menyokong pembangunan industri halal tempatan bagi memenuhi pasaran halal global yang dijangka bernilai AS$5 trillion (RM23.4 trillion) menjelang 2030.

Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) mengunjurkan industri halal Malaysia bernilai AS$113.2 bilion (RM529.8 bilion) dan menyumbang 8.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Pada penghujung 2022, jumlah nilai eksport halal negara berjumlah RM59.5 bilion manakala industri halal menyumbang 7.4 peratus kepada KDNK negara.

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, berikutan pelancaran produk pembiayaan patuh syariah yang komprehensif pada Mei 2023, Funding Societies berada di kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada usahawan Muslim serta peniaga dalam ekonomi halal.

“Penekanan terhadap ketelusan yuran dan caj juga semakin menarik minat warga bukan Islam terhadap produk ini. Sejak pelancaran tersebut, Funding Societies telah mengagihkan lebih RM100 juta melalui penyelesaian pembiayaan patuh syariah kami.

“Kerjasama ini akan membantu meningkatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan ekonomi halal serta akan meluaskan akses pasaran eksport untuk pemain industri halal di negara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PMKS mewakili 97 peratus atau 1.2 juta daripada keseluruhan jumlah perniagaan setakat 2022. Sebagai tulang belakang ekonomi negara, yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah pekerjaan, keupayaan PMKS untuk mengambil bahagian dalam trajektori ekonomi adalah penting untuk pertumbuhan Malaysia.

Pengenalan dasar kerajaan melalui pakej sokongan Belanjawan 2023, ditambah pula dengan kerjasama sektor swasta seperti Funding Societies turut akan membantu memperluaskan akses kepada pembiayaan perniagaan untuk PMKS dan
meyumbang dalam memajukan Malaysia secara mampan, terutamanya dalam pembangunan industri halal.

Usahasama tersebut menerusi sesi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Pengurus Kanan Usahasama dan Kerjasama Strategik Funding Societies Malaysia, Syarina Hyzah Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Hairol Ariffien Sahari pada program Jelajah Halal Malaysia 2023 di Ipoh, Perak pada 28 November lalu.

Memorandum perjanjian diantara Funding Societies dan HDC ini adalah detik penting bagi ekosistem halal Malaysia dalam mengukuhkan peranan dan komitmen sektor swasta dalam memacu dan menyokong pertumbuhan ekonomi PMKS negara selaras dengan matlamat Belanjawan 2024.

Beroperasi sejak 2017, Funding Societies telah menyediakan pembiayaan kepada ribuan PMKS, dan mengagihkan lebih RM2 billion sejak penubuhannya di negara ini. Di Asia Tenggara, platform kewangan digital ini telah mencapai lebih RM5 bilion agihan dana modal kerja melalui lebih 5 juta transaksi setakat November 2023.

Funding Societies turut menyasarkan lebih 50 peratus daripada pengagihannya daripada portfolio pembiayaan patuh syariah menjelang 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×