PETALING JAYA: Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&NHB) mencatatkan pertumbuhan keuntungan terlaras selepas cukai tidak termasuk item one-off bagi tahun penuh kewangan berakhir 30 September 2023 sebanyak 22.4 peratus kepada RM489.7 juta, berbanding RM399.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut kenyataan syarikat itu, pertumbuhan didorong oleh pemulihan pasaran dan strategi pengurusan harga yang dilaksanakan sejak tahun lepas mula menunjukkan keberkesanan.
Tambahan pula, Kumpulan turut menerima manfaat daripada aliran hasil yang diperluas berikutan pengambilalihan Cocoaland Holdings Berhad pada 4 November 2022.
Bagi tempoh yang sama, Syarikat merekodkan peningkatan hasil sebanyak 11.9 peratus kepada RM5 bilion dengan hasil eksport Kumpulan melepasi RM1 bilion.
Keuntungan operasi kumpulan bagi 2023 meningkat kepada RM642.9 juta berikutan hasil yang lebih tinggi dan item one-off bukan operasi terutamanya penilaian semula ekuiti Cocoaland sebanyak 27.62 peratus yang dipegang sebelum penswastaan dan item one-off yang lain.
Sementara itu, Kumpulan mencatatkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai sebanyak 36.5 peratus kepada RM136.0 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 30 September 2023 walaupun berdepan kos faedah yang lebih tinggi.
Pertumbuhan tersebut didorong oleh momentum jualan yang berkekalan oleh operasi makanan dan minuman (F&B) Malaysia termasuk sumbangan daripada Cocoaland.
Pada suku yang sama, Syarikat merekodkan hasil sebanyak RM1.24 bilion, pertumbuhan 9.4 peratus berbanding RM1.14 bilion bagi suku sama tahun sebelumnya.
Pengerusi F&NHB, Tengku Syed Badarudin Jamalullail berkata, Lembaga Pengarah mengesyorkan dividen satu peringkat akhir sebanyak 33.0 sen sesaham dan dividen istimewa tambahan sebanyak 17.0 sen sesaham untuk menyambut ulang tahun ke-140 Kumpulan.
“Tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang, jumlah dividen bagi tahun tersebut akan berjumlah 77.0 sen sesaham.
“Ini menjadikan jumlah pembayaran dividen untuk tahun kewangan 2023 kepada RM282.4 juta iaitu 28.3 peratus lebih tinggi daripada tahun kewangan 2022,” ujarnya. – UTUSAN










