Duopharma Biotech catat hasil RM169.24 juta

Duopharma Biotech catat hasil RM169.24 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) mencatatkan pemulihan dalam jualan suku ke suku pada suku ketiga tahun kewangan 2023 berakhir 30 September 2023 (Q3TK2023) dengan hasil sebanyak RM169.24 juta, meningkat 1.03 peratus berbanding RM167.52 juta pada suku sebelumnya.

Ia dirangsang oleh pertumbuhan jualan swasta pasaran farmaseutikal preskripsi, sektor kepakaran etika dan segmen eksport.

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) dan untung selepas cukai (PAT) bagi Q3TK2023 masing-masing berjumlah RM11.43 juta dan RM8.97 juta.

Pada masa yang sama, hasil tahun sehingga kini (YTD) pada Q3TK2023 sebanyak RM537.23 juta susut sebanyak 1.38 peratus tempoh yang sama tahun lepas, disebabkan kelembapan permintaan daripada sektor penjagaan kesihatan dan impak berpanjangan daripada peningkatan kos operasi.

Dalam tiga suku pertama 2023, PBT kumulatif Syarikat berjumlah RM56.23 juta, manakala PAT sebanyak RM44.14 juta.

“Peningkatan kos termasuk pelarasan kenaikan dalam tarif elektrik, peningkatan kos buruh susulan pindaan Akta Kerja 1955, kos kewangan yang lebih tinggi disebabkan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kos tambahan yang berkaitan dengan permulaan pengeluaran di kemudahan K3 baharu, dan kadar pertukaran yang tidak menguntungkan,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, Duopharma Biotech meramalkan pemulihan hasil secara beransur-ansur dalam jangka panjang, sambil Syarikat terus mengukuhkan portfolio.

Ia termasuk tawaran inovatif bernilai tinggi dan produk khusus, dengan tumpuan pada segmen penjagaan kesihatan, sambil mengharungi cabaran industri yang berterusan.

“Kami juga berbesar hati dengan komitmen Kerajaan terhadap pembiayaan penjagaan kesihatan, dengan peruntukan sebanyak RM41.2 bilion dalam Belanjawan 2024.

“Peningkatan 13.5 peratus dalam peruntukan sudah pasti akan membolehkan pembaharuan penting dalam sistem penjagaan kesihatan, sekali gus merangsang pertumbuhan permintaan untuk bekalan farmaseutikal,” katanya.

Duopharma Biotech kini memegang kontrak tiga tahun bernilai RM375 juta untuk membekalkan Insugen-Insulin Recombinant Human Formulations ke kemudahan Kementerian Kesihatan dari 29 April 2022 hingga 28 April 2025.

Pada Q3TK2023, Kumpulan membayar dividen interim sebanyak 0.5 sen sesaham (2022: dividen interim pertama sebanyak 0.5 sen sesaham) bersamaan RM4.81 juta (2022:RM 4.76 juta) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN