Cuka rambutan, dokong sasar tembusi pasaran Asia Barat

Cuka rambutan, dokong sasar tembusi pasaran Asia Barat

HANIS Mohd. Asri menunjukkan cuka rambutan dan dokong yang dihasilkan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Produk cuka berasaskan rambutan dan dokong yang dihasilkan oleh Perbada­nan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyasarkan untuk menembusi pasaran Asia Barat tahun depan.

Pegawai Eksekutif Pengeluaran dan Kualiti produk, Hanis Mohd. Asri berkata, pihaknya menerima tawaran daripada beberapa buah syarikat yang berminat menjadi pembekal untuk memasarkan produk berkenaan ke luar negara.

Menurutnya, tawaran sema­kin meningkat setelah produk me­nerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Setelah kita menerima pensijilan halal, beberapa syarikat berminat dan membuat tawaran untuk membawa produk cuka rambutan dan dokong ke pasaran luar negara termasuk ke Asia Barat.

“Jadi, kita sasar untuk me­nembusi pasaran Asia Barat pada tahun hadapan bagi memenuhi keperluan pasaran halal yang mendapat permintaan meningkat setiap tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Hanis berkata, cuka berasaskan rambutan dan dokong ber­kenaan satu-satu­nya produk cuka tempatan yang menerima pensijilan halal oleh Jakim.

Katanya, pensijilan halal diterima pada September lalu setelah melalui beberapa prosedur serta syarat ditetapkan terma­suk menjalani proses audit sebanyak dua kali.

“Untuk mendapatkan sijil halal, kami perlu melalui pelbagai proses termasuk melakukan kajian bagi memastikan cuka yang dihasilkan selamat untuk dimakan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Kami juga berbangga apabila cuka ini menjadi satu-satunya produk cuka yang mendapat pensijilan halal,” katanya.

Dalam pada itu, Hanis berkata, idea menghasilkan produk ber­kenaan dibuat selepas kerajaan negeri menerima banyak aduan berkaitan masalah lambakan buah-buahan rambutan dan dokong.

Menurutnya, bagi menyelesaikan masalah lambakan itu, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang telah me­laksanakan penyelidikan mengenai cuka rambutan dan dokong sejak 2014. Kerjasama diketuai Prof. Madya Dr. Seri Intan Mokhtar.

“Kerjasama turut mendapat sokongan daripada kerajaan negeri menerusi bantuan geran bernilai RM250,000 untuk memiliki sebuah kilang dan menghasil serta memasarkan produk cuka rambutan dan dokong,” katanya.

Hanis memberitahu, setakat ini pihaknya mendapatkan bekalan rambutan dan dokong secara terus daripada pekebun di Jeli, Pasir Mas dan Bunohan di Tumpat.

Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak 2,500 botol telah dihasilkan untuk diperkenalkan dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri serta pasaran tempatan dengan harga RM30 sebotol bagi cuka rambutan dan RM35 sebotol bagi cuka dokong.

“Bagi menghasilkan cuka rambutan dan dokong, ia perlu melalui beberapa proses bermula daripada membersih dan mengupas buah, proses menghancurkan buah untuk dijadikan jus sebelum proses pe­meraman selama 48 hari untuk menjadi ibu cuka.

“Penghasilan cuka ini tidak perlu dimasak kerana semasa proses berkenaan dilakukan, suhu akan meningkat sehingga melebihi 100 darjah celsius.

“Selepas itu, ibu cuka ber­kenaan akan melalui proses tapisan untuk dicairkan bersama air kepada lima peratus asid yang selamat untuk dimakan,” katanya.

Katanya, ketika ini pihaknya dalam proses memberi pendedahan secara meluas berkaitan kelebihan dan kebaikan cuka rambutan dan dokong yang masih tidak diketahui umum.

“Cuka rambutan dan dokong ini mempunyai kebaikan tersendiri.

“Misalnya, cuka rambutan sangat bagus untuk proses pencernaan kerana ia mengan­dungi palmitoleic acid (omega 7 ).

“Manakala cuka dokong pula sangat baik untuk jantung kerana ia mengandungi L-Arginine,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN