Cahya Mata Cement, Sinoma jalin kerjasama teknikal

Cahya Mata Cement, Sinoma meterai perjanjian perundingan teknikal

DARI KIRI: Sulaiman Abdul Rahman, Mohd. Zaidi Zainuddin; Pemangku Ketua Bahagian, Bahagian Simen Cahya Mata Sarawak, Choong Ju Tang; Pengarah Urusan Industri Sinoma, Liu Tao; Sun Jian; Dr. Joe Khor Jaw Hui di majlis menandatangani perjanjian perundingan teknikal antara Cahya Mata dan Sinoma Industry Engineering Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, hari ini. - GAMBAR/Hussein Shaharuddin/TMR)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cahya Mata Cement Sdn. Bhd. memeterai perjanjian perundingan teknikal dengan Sinoma Industry Engineering (M) Sdn. Bhd. untuk membina laluan klinker baharu dan pengoptimuman kemudahan sedia ada.

Pengerusi Kumpulan Cahya Mata, Jeneral Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, perjanjian itu menunjukkan komitmen berterusan terhadap pembangunan Sarawak sebagai perniagaan mewakili bahagian penting dalam rantaian bekalan pembinaan.

“Kami yakin usaha bagi perniagaan simen kami kerana perkongsian kami dengan syarikat terkemuka global seperti Sinoma Industry.

“Sinoma mempunyai pengalaman industri yang luas dan kepakaran teknikal dalam pembangunan kilang simen di seluruh dunia,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perundingan Teknikal di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Tianjin Cement Industry Design and Research Institute (TCDRI), Sun Jian; Pengerusi Cahya Mata Cement, Dr. Joe Khor Jaw Hui dan Pengarah Kumpulan Urusan Cahya Mata, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman.

Tambah Zahidi Zainuddin, laluan klinker dua baharu akan memberikan kapasiti pengeluaran rizab yang mencukupi untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan secara material.

“Ia juga menyediakan pintu masuk tambahan ke pasaran eksport berdekatan dan keupayaan untuk menghasilkan pelbagai jenis simen,” katanya.

Tambahnya, laluan Klinker dua dianggarkan menjana pengeluaran harian sebanyak 6,000 tan metrik (MT) atau 1.9 juta MT/tahun.

Sementara itu, Pengarah Urusan Industri Sinoma, Liu Tao berkata, pihaknya berbesar hati diberi peluang untuk bekerjasama dengan Cahya Mata sekali lagi.

“Perkongsian ini menunjukkan komitmen Sinoma Industry untuk menyokong pembangunan mampan industri simen Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Sinoma menyasarkan untuk mencipta impak yang berkekalan terhadap industri simen Borneo secara keseluruhan dan memupuk pertumbuhan yang mampan melalui kemajuan teknologi.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×