PETALING JAYA: Bilangan penganggur terus menurun pada September 2023 kepada 573,700 orang, mencatatkan kadar pengangguran 3.4 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pada bulan berkenaan, kedudukan tenaga buruh negara kekal dalam trend pertumbuhan positif dengan peningkatan kecil bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran terus berkurang selari dengan perkembangan ekonomi semasa.
Beliau berkata, bilangan tenaga buruh terus bertambah dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.95 juta orang (Ogos 2023: 16.93 juta orang), mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) 70.1 peratus, seperti direkodkan bulan sebelumnya.
Katanya, bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan kenaikan kecil iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 16.38 juta orang (Ogos 2023: 16.35 juta orang).
“Sementara itu, bilangan penganggur pada bulan tersebut mencatatkan penurunan sebanyak 0.6 peratus kepada 573,700 orang (Ogos 2023: 577,300 orang). Pada masa yang sama, kadar pengangguran pada September 2023 kekal seperti bulan sebelumnya (Ogos 2023: 3.4 peratus),” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia, September 2023 dan Suku Tahun Ketiga 2023.
Mengenai kedudukan guna tenaga, Mohd. Uzir berkata, pada September, 75.3 peratus daripada jumlah penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja, meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus kepada 12.33 juta orang (Ogos 2023: 12.32 juta orang).
Di samping itu katanya, bilangan penduduk bekerja dalam kategori bekerja sendiri terus mencatatkan pertambahan iaitu sebanyak 0.2 peratus kepada 2.97 juta orang (Ogos 2023: 2.97 juta orang).
Dari segi sektor ekonomi, sektor Perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja terutama dalam aktiviti Perdagangan borong dan runcit; Perkhidmatan makanan dan minuman; dan Pengangkutan dan penyimpanan.
Begitu juga sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan dan pengkuarian serta Pertanian juga mempamerkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut.
Pada bulan tersebut, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun turun kepada 10.6 peratus dengan jumlah seramai 310,100 orang (Ogos 2023: 10.8 peratus; 309,200 ribu orang). Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.7 peratus, dengan bilangan seramai 440,000 belia (Ogos 2023: 6.8 peratus; 439,600 orang).
Mengulas prestasi keseluruhan bagi suku tahun ketiga 2023, Ketua Perangkawan berkata, pada suku tersebut, bilangan tenaga buruh berada dalam trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.6 peratus kepada 16.82 juta orang (ST2 2023: 16.73 juta orang).
“Bagi kadar pengangguran dan KPTB mengikut negeri, kadar pengangguran terendah pada suku tahun ini adalah di negeri W.P. Putrajaya dengan 0.5 peratus, diikuti Pulau Pinang (2.1 peratus), Kedah dan Selangor (2.3 peratus).
“Sementara itu, sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam KPTB, yang menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. KPTB tertinggi direkodkan di Selangor dengan 77.0 peratus, diikuti WP Putrajaya (75.6 peratus), WP Kuala Lumpur (73.4 peratus) dan Pulau Pinang 2.5 peratus),” katanya. – UTUSAN










