PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengenakan pertuduhan terhadap bekas pengarah syarikat Kyaputen Sdn. Bhd., Muhamad Fadzli Jamaludin (Fadzli), di atas tiga kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen.
SC dalam kenyataan memaklumkan, Muhamad Fadzli, 33, dikenakan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur pagi ini, kerana menjalankan perniagaan dalam pengurusan dana tanpa lesen.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku antara November 2018 dan April 2020 di Kuala Lumpur dan Melaka.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan.
“Ini merupakan kesalahan di bawah seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.
“Pengurusan dana merupakan aktiviti terkawal seperti yang ditetapkan dalam Jadual 2 CMSA dan individu yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC,” katanya.
Menurut SC, Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Sabariah Othman membenarkan tertuduh ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.
SC memaklumkan, Muhamad Fadzli juga diperintah untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.
Dalam pada itu, SC menasihatkan pelabur supaya berhati-hati apabila mempertimbangkan peluang pelaburan.
“Senarai Makluman Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membantu orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan atau tidak berlesen. Pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: [email protected].,” katanya. – UTUSAN










