YTL Cement umum geran penyelidikan RM1 juta

YTL Cement umum geran penyelidikan RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: YTL Cement, kumpulan bahan binaan terbesar di Malaysia mengumumkan RM1 juta geran penyelidikan kepada Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) bagi mengetengahkan misi mencapai kecemerlangan pembinaan dan sokongan peralihan industri kepada pembinaan mampan.

Rangsangan kewangan kepada anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ini susulan Memorandum Persefahaman (MOU) antara kedua-dua pertubuhan pada April lalu.

CREAM dan YTL Cement menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam membangunkan tenaga kerja industri pembinaan, penyelidikan dan inovasi, serta meningkatkan pemahaman dan penggunaan amalan pembinaan mampan dalam kalangan pemain industri.

Pengarah Urusan YTL Cement, Datuk Seri Michael Yeoh berkata, sebagai sebuah syarikat yang telah membantu pembangunan Malaysia selama lebih 70 tahun, pihaknya mengetahui kepentingan melabur dalam kemajuan negara kita pada masa yang sama menangani keperluan pembinaan secara mampan.

“Geran penyelidikan RM1 juta mencerminkan dedikasi kami untuk menyokong usaha CREAM dalam menggalakkan pertumbuhan industri dengan kakitangan yang terlatih, memperjuangkan penyelidikan dan pembangunan, serta memajukan amalan pembinaan mampan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Sr Mohd. Zaid Zakaria berkata, CIDB telah memperjuangkan tanggungjawab sosial dan alam sekitar industri pembinaan di Malaysia namun perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan pemain utama industri bagi menjadikan peralihan mampan satu realiti.

“Kerjasama ini mewakili satu langkah penting ke arah membentuk semula industri pembinaan kerana usaha mereka adalah penting untuk mempercepatkan perubahan dalam kalangan pemain industri pembinaan,” ujarnya.

Geran penyelidikan akan disalurkan untuk memulakan tiga inisiatif utama iaitu Pembangunan Personel Binaan iaitu membentuk program latihan untuk golongan belia sebagai juruteknik konkrit, Penyelidikan dan Pembangunan untuk mawujudkan alternatif karbon dalam kaedah pembinaan serta bekerjasama untuk memudahkan penggunaan amalan pembinaan mampan di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN