Swift mahu beralih kepada trak, `prime mover' elektrik

Swift mahu beralih kepada trak, `prime mover’ elektrik

ANTHONY Loke melancarkan Bahagian Logistik Hijau dan Serah Trak Terminal Elektrik Pertama Malaysia di Pusat Pemeran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Swift Haulage Berhad (Swift) mahu menjadi pemain logistik pertama yang menukar armadanya kepada trak berkuasa boleh diperbaharui sepenuhnya menjelang 2030.

Swift adalah syarikat pengangkutan terbesar negara dan penyedia perkhidmatan logistik bersepadu terkemuka dengan lebih 1,500 penggerak utama (prime mover).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift, Loo Yong Hui berkata, Syarikat yang melancarkan bahagian Logistik Hijau tidak akan menggunakan prime mover dikuasakan diesel atau enjin bahan bakar pada masa hadapan.

Katanya, penggunaan trak terminal elektrik akan mengurangkan emisi karbon, pencemaran bunyi dan kebergantungan kepada bahan api fosil dengan ketara.

“Trak terminal elektrik menyediakan tahap kecekapan guna tenaga lebih tinggi, kos penyelenggaraan lebih rendah, dan operasi yang lebih senyap, memberikan penyelesaian logistik yang lebih lestari dan menjimatkan kos dalam jangka panjang.

“Dengan pelancaran bahagian Logistik Hijau terkhusus ini, kami berhasrat untuk mempermudahkan urusan lebih banyak syarikat dalam usaha mereka melaksanakan penyelesaian logistik lebih lestari dan prihatin terhadap alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bahagian Logistik Hijau dan Serah Trak Terminal Elektrik Pertama Malaysia oleh Swift kepada Unilever Malaysia di Pusat Pemeran dan Perdagangan Antarabangsa  Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Majlis itu disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Pengurus Besar Unilever Malaysia, Lenny Chuah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir.

Unilever Malaysia menjadi pelanggan pertama Swift yang menerima kenderaan elektrik itu, menetapkan standard baharu untuk kemampanan dan tanggungjawab alam sekitar dalam rantaian bekalan mereka. AmBank pula menyediakan pembiayaan untuk kenderaan terbabit.

Sementara itu, Yong Hui berkata, sebanyak dua trak terminal elektrik diserahkan pada pada majlis tersebut untuk digunakan bagi penghantaran Unilever Malaysia.

Mengulas mengenai penjimatan, beliau berkata, penggunaan trak elektrik akan memberi penjimatan antara 30 hingga 40 peratus, berbanding penggunaan petrol.

“Ini adalah penjimatan dari segi operasi, dari segi kos lori adalah tiga kali lebih mahal. Jadi, kos untuk memiliki trak adalah lebih tinggi,” ujarnya.

Difahamkan, kos sebuah trak tersebut adalah sebanyak RM1.3 juta.

Sementara itu, Sulaiman berkata, AmBank akan memberikan Swift pembiayaan sebanyak RM20 juta setahun untuk tempoh antara 10 dan 15 tahun bagi perolehan trak kenderaan elektrik dan prime mover. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN