Straits Energy lancar projek pelabuhan pintar di Labuan

Straits Energy lancar projek pelabuhan pintar di Labuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Straits Energy Resources Berhad (Straits Energy) mengumumkan dua anak syarikat tidak langsungnya, Straits CommNet Solutions Sdn. Bhd. (SCS) dan Megah Port Management Sdn. Bhd. (MPM) telah memeterai memorandum persefahaman untuk pelaksanaan Projek Pelabuhan Pintar di Labuan, Sabah.

SCS merupakan anak syarikat 70 peratus milik Straits Technology Solutions Sdn. Bhd. Straits Technology pula merupakan anak syarikat 75 peratus milik Straits Energy yang turut mempunyai 51 peratus kepentingan dalam MPM.

Menurut Straits Energy, projek pelabuhan pintar itu selari dengan matlamat Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Labuan bandar pintar menjelang 2030.

“Straist Energy dijangka akan melabur sejumlah RM3.6 juta untuk dua fasa awal projek pelabuhan pintar, menggunakan sama ada dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, fasa pertama dijangka siap dalam tempoh tujuh bulan, manakala fasa kedua projek dijangka akan mengambil masa tambahan tujuh bulan.

Projek itu dijangka akan memberikan sumbangan positif kepada prestasi kewangan Syarikat pada tahun fiskal berakhir 31 Disember 2024 (TK2024).

Tambahnya, projek pelabuhan pintar akan meningkatkan kecekapan infrastruktur dan kualiti perkhidmatan yang disediakan di Pelabuhan Liberty Labuan. MPM merupakan pengendali pelabuhan berkenaan.

HO KAM CHOY

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan Kumpulan Straits Energy, Datuk Seri Ho Kam Choy berkata, memandangkan perdagangan global terus berkembang, operasi pelabuhan menjadi semakin kompleks.

“Tetapi terima kasih kepada kuasa teknologi, kami kini boleh membangunkan ekosistem pelabuhan pintar bersepadu yang mengautomasikan dan mendigitalkan pelbagai operasi pelabuhan, yang membantu memudahkan serta menangani isu-isu rumit.

“Dengan pelabuhan pintar, kami dapat mengurangkan kos dan masa pemprosesan, meningkatkan produktiviti dan kecekapan pelabuhan. Dan yang penting, kami turut memainkan peranan dalam meningkatkan kelestarian alam sekitar operasi perkapalan, dengan mengurangkan pelepasan karbon dan gas rumah hijau pelabuhan,” katanya.

Beliau berkata, jelas sekali pada masa yang mendatang, setiap pelabuhan utama akan menjadi pelabuhan pintar dan dengan pelaburan yang dibuat, Syarikat mengambil langkah pertama dalam mengubah Pelabuhan Labuan menjadi pelabuhan pintar kelas dunia yang akan meningkatkan kemakmuran masa depan pulau berkenaan.

“Kami berharap untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan rakan kongsi industri untuk menjayakan inisiatif ini,” katanya.

Menurut Straits Energy, projek pelabuhan pintar akan memanfaatkan teknologi terkini, termasuk internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepatkan transformasi digital Pelabuhan Labuan.

Ciri-ciri utama pelabuhan pintar akan merangkumi operasi digital, penyepaduan IoT, logistik dipacu AI dan teknologi `blockchain.

“Projek pelabuhan pintar akan diterajui oleh SCS, yang terlibat dalam pasaran 5G dan minyak dan gas (O&G) IoT, sebagai sebahagian daripada segmen telekomunikasi dan perkhidmatan rangkaian komunikasi Straits Energy,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN