KUALA LUMPUR: Selangor menyasarkan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi selaras dengan industri utama yang dikenal pasti di negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, ia termasuk pengangkutan awam atau penyelesaian perubahan iklim, pembuatan berkualiti tinggi terutamanya menggunakan automasi, bidang baharu dalam bioteknologi dan farmaseutikal untuk persediaan menghadapi endemik atau wabak seterusnya.
“Kita tidak mahu sebarangan pelaburan. Adalah jelas perniagaan pelaburan bukan semata-mata berdasarkan masa lalu.
“Itulah sebabnya saya jelaskan kepada seluruh pasukan saya di Selangor, walaupun kita telah melakukannya dengan baik, kita tidak boleh mengambil mudah atau leka dengan mengharapkan kejayaan masa lalu dapat menjamin kejayaan kita pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian semasa Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di sini semalam.
Amirudin berkata, pasukan itu telah bekerja keras menarik pelabur asing dalam meningkatkan kehadiran mereka di Selangor.
“Semalam (kelmarin), saya merasmikan pusat pengedaran global terbesar Daiso Jepun yang akan dibina di Pulau Indah, Selangor.
“Begitu juga, syarikat lain seperti Toyota, Texas Instruments, Wistron, Airbus, Aerodyne dan ALP telah memainkan peranan penting dalam ekonomi Selangor berkembang sebanyak 11.9 peratus pada 2022, mengatasi pertumbuhan negara sebanyak 3.2 peratus,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha gigih pasukan di Invest Selangor, ketua-ketua jabatan dalam majlis tempatan dan kerajaan negeri adalah dengan satu matlamat iaitu mempamerkan Selangor sebagai pilihan pertama pelabur, seterusnya menarik pekerjaan dari luar negara ke Selangor.
“Mereka menghubungkan pelabur asing dengan perusahaan kecil dan sederhana di Selangor untuk terus dimasukkan dalam rantaian bekalan global.
“Sama ada anda ingin menubuhkan kilang baharu, atau membantu mengembangkan operasi anda dan mengeratkan hubungan anda di Selangor untuk dekad yang akan datang,” katanya.
SIBS 2023 yang membuka tirai semalam hingga Ahad menyasarkan potensi jualan sehingga RM1.5 bilion.
Edisi ketujuh berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini menyediakan hampir 1,050 reruai dengan jangkaan menarik 50,000 pengunjung termasuk pelawat luar negara.
Sidang tahunan itu menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).
Beberapa negara menyertai program bertaraf antarabangsa ini antaranya China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turkiye, Kenya and Australia. – UTUSAN










