Selangor, Pulau Pinang capai 90% penembusan bayaran digital

Selangor, Pulau Pinang capai 90 peratus penembusan bayaran digital

RASHIDAH Mohd. Sies (tengah) bergambar bersama wakil penerima cek selepas merasmikan penutup Cashless Boleh 3.0 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang berjaya mencapai 90 peratus penembusan pembayaran digital sehingga Oktober, kata Pengarah Kanan Bahagian Digitalisasi Kerajaan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), Firdaus Ghani.

Menurutnya, pencapaian tersebut merupakan hasil kerjasama dengan pengurusan tertinggi kerajaan negeri yang menggalakkan pembayaran tanpa tunai dalam usaha untuk mengurangkan ketirisan selain mampu meningkatkan hasil negeri.

“Selangor dan Pulau Pinang sekarang sudah 90 peratus, negeri lain macam Perlis mereka  dah capai dalam 60 peratus, Kedah pula kira-kira 80 peratus, sementara Perak kita masih belum dapat jumlahnya tetapi kita percaya ia sekitar 49 peratus.

“Johor juga menunjukkan (prestasi) yang baik iaitu melebihi 50 peratus. Bagi Sabah dan Sarawak pula kita masih berusaha untuk dapatkan transaksi mereka.

“Apa yang kita lihat, sebagai contoh, Menteri Besar Selangor memang ‘push’ untuk pembayaran tanpa tunai, mereka ada buat program dan turun padang setiap bulan, manakala Kedah pula tekankan penggunaan ‘cashless’ untuk elak ketirisan dan tingkatkan hasil kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kempen ‘Cashless Boleh 3.0’ di Auditorium Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

Kempen siri ketiga itu merupakan susulan daripada dua kempen ‘Cashless Boleh’ kebangsaan sebelum ini yang berlangsung selama tempoh enam bulan.

Ia bertujuan memupuk kesedaran dan menggalakkan tabiat e-pembayaran atau pun tanpa tunai di kalangan orang awam sebagai kaedah pembayaran utama di negara ini.

Selain itu, kempen tersebut turut membantu migrasi agensi kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke arah mencapai kutipan pembayaran 100 peratus tanpa tunai.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, pihaknya kini masih dalam proses perbincangan bagi mendapatkan kelulusan daripada MOF bagi meneruskan kempen ‘Cashless Boleh’ 4.0.

“Seperti biasa kita akan mula dengan syarat kelulusan daripada MOF, biasanya pada bulan Disember kerana pada Disember orang ramai akan pergi ke agensi-agensi kerajaan untuk urusan seperti (memperbaharui) pasport, lesen dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOF, Datin Rashidah Mohd Sies berkata, kerajaan kekal fokus kepada peningkatan kecekapan dan ketelusan dalam sektor awam.

“Justeru, kerjasama sektor awam dan sektor swasta penting untuk memajukan agenda pembayaran tanpa tunai negeri seperti ini kerana ia menyumbang secara langsung kepada matlamat tersebut.

“Peningkatan kecekapan dan kesenangan dinikmati rakyat dari segi masa dan kos apabila berurusan dengan kerajaan nirtunai (cashless) amat ketara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×