KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk menyediakan panduan tadbir urus kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, syarikat sekutunya, Capital Markets Malaysia (CMM) juga akan mengeluarkan Panduan Ringkas Pendedahan ESG kepada PKS.
Katanya, sokongan dan bimbingan untuk PKS adalah penting berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
“Kami juga menyokong penerapan tadbir urus merentas rantaian bekalan, terutamanya oleh PKS untuk mengurangkan risiko daripada kelemahan dan gangguan rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Meja Bulat OECD-Asia mengenai Tadbir Urus Korporat 2023 di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara di sini, hari ini.
Majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut melancarkan buku Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD.
Awang Adek berkata, SC terus meletakkan tadbir urus yang baik sebagai teras keutamaan pengawalseliaan, sejajar dengan asas kepada rangka kerja MADANI yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Tambahnya, di bawah rangka kerja ini, pertumbuhan dan pembangunan akan diteruskan dan dikekalkan dengan cara inklusif yang mengutamakan keperluan rakyat.
“Prinsip G20/Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang disemak semula menekankan tanggungjawab lembaga termasuk kepentingan langkah untuk meningkatkan kepelbagaian lembaga dan pengurusan.
“Sehubungan itu, berkuat kuasa Jun tahun ini, syarikat tersenarai di Bursa Malaysia mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita dalam lembaga pengarah, bermakna tiada lagi ruang untuk lembaga pengarah lelaki sahaja.
“Syarikat juga mesti berusaha untuk mencapai sasaran 30 peratus dan sehingga kini, 40 peratus telah mencapai matlamat ini,” ujarnya. – UTUSAN










