Saran tingkat pembiayaan rumah mampu milik

Saran tingkat pembiayaan rumah mampu milik

KENAIKAN pembiayaan rumah mampu milik mampu membantu rakyat memiliki kediaman sendiri. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran meningkatkan pembiayaan rumah mampu milik dalam pembentangan Belanjawan 2024 melalui pelbagai inisiatif termasuk pemberian subsidi dan pelepasan cukai.

Pengurus Besar MTD Properties, Daniel Yeap berkata, kerajaan juga boleh memberikan insentif kepada pihak pemaju untuk memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik.

Jelasnya, menurut data Dasar Perumahan Negara (2018-2025), harga median rumah di negara ini ialah RM330,000, satu angka yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan atau secara purata rakyat Malaysia.

“Dengan mengambil kira pendapatan median rakyat Malaysia pada tahap RM2,500 sebulan, julat harga yang lebih realistik hendaklah di antara RM250,000 hingga RM 300,000.

“Justeru, bagi membolehkan rakyat memiliki rumah mampu milik, kerajaan juga perlu membantu dengan melonggarkan kriteria peminjaman untuk memudahkan orang ramai layak menerima gadai janji.

“Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan nisbah pinjaman kepada nilai (LTV) maksimum, mengurangkan keperluan bayaran muka minimum atau menawarkan insentif lain kepada bank,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan boleh memperkemas proses kelulusan projek perumahan baharu dengan mengurangkan bilangan agensi yang terlibat dalam proses kelulusan, memudahkan proses permohonan dan memberikan lebih ke­telusan kepada pemaju.

“Purata masa yang diperlukan untuk mendapatkan kelulusan projek perumahan baharu di Malaysia ialah dua tahun, manakala purata bilangan agensi yang terlibat dalam proses kelulusan projek perumahan baharu ialah 10,” ujarnya.

Bagi merancakkan industri perumahan, Daniel turut mencadangkan Belanjawan 2024 harus merangkumi pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi terutamanya yang melibatkan projek infrastruktur, pelaburan dalam industri utama dan inisiatif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan mungkin boleh memperkenalkan langkah untuk mengurangkan kesan inflasi yang tinggi termasuk subsidi bersasar, kawalan harga atau insentif untuk meningkatkan pengeluaran barangan keperluan domestik.

“Menyedari kepentingan meningkatkan pendapatan isi rumah, kerajaan perlu melancarkan inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan tahap pendapatan penduduk termasuk pelaksanaan Dasar Gaji Progresif atau program peningkatan pendapatan lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN