RTO beri kelebihan, cuba dahulu baru beli

RTO beri kelebihan, cuba dahulu baru beli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKIM sewa-untuk-beli (RTO) dikatakan memberi kelebihan kepada individu khususnya golongan berpendapatan rendah untuk menunaikan impian mereka memiliki kediaman sendiri.

Namun, ia juga perlu dite­rangkan sebaiknya kepada bakal penyewa atau pembeli supaya mereka tidak rasa ‘terjerat’ de­ngan tawaran yang rendah pada awalnya.

NORHANISAH ASBDULLAH

Pekerja swasta, Norhanisah Asbdullah berkata, dia pernah diterangkan mengenai skim RTO yang dijalankan oleh sebuah bank komersial yang menawarkan kadar sewa rendah sebelum meningkat selepas tempoh sewaan berakhir pada tahun kelima.

“Tapi ketika itu saya tidak diterangkan mengenai skim sewa-untuk-beli. Jurujual itu hanya memaklumkan rumah itu memang dibeli namun kadar bayaran bulanan dapat dikurangkan dalam satu tempoh seperti melambatkan kadar bayaran bulanan sebenar.

“Justeru, saya berharap pihak yang terlibat boleh memperluaskan promosi skim ini dan memberi penerangan yang terperinci kepada individu yang berminat supaya lebih ramai dapat memiliki rumah dengan cara mudah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

NURUL HAZEMYN ROSLAN

Sementara itu, pegawai bank, Nurul Hazemyn Roslan berkata, skim RTO adalah satu cara yang baik bagi membantu golongan muda dan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri.

“Apa yang menarik, kadar faedah untuk rumah dengan skim ini tidak berubah walaupun setelah lima tahun kita menyewa dan mungkin ketika itu kadar faedah menjadi lebih tinggi. Jadi, kita akan mendapat manfaat kerana dapat membeli rumah yang disewa itu dengan faedah yang rendah.

“Namun, bagi saya, lebih bagus sekiranya skim ini diuruskan oleh agensi kerajaan jadi lebih banyak bantuan dari segi bayaran bulanan dapat diberikan kepada pembeli,” ujarnya.

ARINI NAJIHA AZMAN

Jurujual, Arini Najiha Azman pula berpendapat, skim ini memberi kelebihan kepada rakyat kerana penyewa berpeluang merasai sendiri perasaan tinggal di kediaman yang menawarkan skim berkenaan sebelum mengambil keputusan besar dengan membelinya.

“Jadi, skim ini boleh dikatakan amat menguntungkan ke­rana kita boleh mencuba dahulu tinggal di kawasan perumahan tersebut dan lihat sama ada kita selesa untuk tinggal lama di sana.

“Jika terdapat sebarang kesukaran seperti kemudahan yang kurang serta keadaan rumah yang tidak memuaskan, kita boleh terus mencari rumah impian lain dengan hanya menamatkan sewaan di sana.

“Bayangkan kalau kita sudah beli satu rumah, namun selepas itu baru kita tahu kawasan itu sentiasa mengalami kesesakan trafik yang sangat teruk atau tiba-tiba kita bertukar tempat kerja, jadi tidaklah kita rugi ke­rana telah membeli rumah itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×