Ringgit dijangka RM4.30 berbanding dolar akhir tahun ini

Ringgit dijangka RM4.30 berbanding dolar akhir tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mata wang tempatan terus melemah apabila ditutup pada 1.1 peratus bulan ke bulan, lebih rendah pada RM4.689 pada September berikutan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh.

MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, pada purata bulanan ringgit menyusut sebanyak 1.5 peratus kepada RM4.682 berbanding dolar AS

Malah firma penyelidikan itu berkata, ringgit merekodkan paras terendah pada 27 September sebanyak RM4.708 berbanding dolar AS sejajar dengan pengukuhan mata wang asing berkenaan.

“Ia merupakan paras terendah sejak awal November 2022 dan kejatuhan nilai ringgit mencerminkan korelasi yang kukuh dengan dolar AS yang lebih kukuh serta turun naik dalam pasaran kewangan.

“Di sebalik keluaran ekonomi yang lebih baik di China, perkembangan positif itu gagal memberikan sokongan untuk mata wang tempatan meningkat.

“Selain itu, pergerakan harga komoditi juga tidak dapat menyokong ringgit kerana harga minyak mentah Brent meng­akhiri bulan lebih tinggi seba­nyak 9.9 peratus pada AS$95.43 setong,” katanya.

Bagaimanapun, MIDF Research kekal optimistik nilai ringgit akan meningkat pada suku keempat 2023 dengan mata wang tempatan itu berada pada RM4.30 berbanding dolar AS akhir tahun ini.

“Mengambil kira kelemahan baru-baru ini dan penangguhan sementara Rizab Persekutuan (Fed) AS, kami mengekalkan unjuran bagi purata ringgit kepada RM4.48 setiap dolar AS dan berada pada paras RM4.30 berban­ding dolar AS pada akhir tahun.

“Kami juga menjangkakan mata wang pasaran sedang pesat membangun (EM) akan meningkat sebaik sahaja Fed mengesahkan penghujung kitaran pengetatannya, yang boleh tiba sebaik sahaja dalam suku keempat 2023,” katanya.

MIDF menjangkakan mata wang EM termasuk ringgit, bakal mendapat manfaat daripada balikan aliran dana ke pasaran yang lebih berisiko sebaik sahaja ‘rayuan’ untuk ke­selamatan dolar AS reda.

“Pada asasnya, keadaan ekonomi kekal menyokong ringgit kerana ekonomi domestik kekal berdaya tahan dan sebagai pengeksport komoditi bersih, ringgit akan mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi global dan lebihan perdagangan yang berterusan.

“Di sebalik penangguhan sementara Fed, kami terus meramalkan kenaikan ringgit didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang kukuh ekoran Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus,” katanya.

Tambahnya lagi, pemulihan China yang lebih pantas juga dijangka memulihkan prestasi perdagangan serantau yang lembap, pada masa sama memberi manfaat kepada mata wang serantau termasuk ringgit.

“Walaupun kami kekal positif terhadap kenaikan nilai ringgit pada akhir tahun ini, kecen­derungan yang semakin lemah kekal kerana Fed masih belum mengisytiharkan penamatan kitaran yang diketatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN