RegSub tambah baik struktur takbir urus

RegSub tambah baik struktur takbir urus

AHMAD Maslan meneliti buku Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD disaksikan Yoshiki Takeuchi (tiga dari kanan) dan Dr. Awang Adek Hussin (dua dari kiri) dan Abdul Wahid Omar di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan penubuhan dan operasi anak syarikat kawal selia Bursa Malaysia, RegSub bagi menambah baik struktur tadbir urus sedia ada.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penubuhan RegSub juga dapat menangani risiko yang berkaitan dengan konflik kepentingan.

Katanya, penubuhan RegSub sejajar dengan Prinsip G20/Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang telah disemak semula.

“Prinsip tersebut menekankan keperluan untuk pembahagian tanggungjawab yang jelas di kalangan pelbagai pihak berkuasa dan perlindungan untuk mengurus potensi konflik kepentingan.

“Tadbir urus korporat yang baik dan perjanjian global mengenai piawaian adalah penting. Satu piawaian global akan mewujudkan pemahaman bersama tentang tadbir urus korporat dan memudahkan aliran modal global.

“Ia menyediakan rangka kerja hak dan tanggungjawab yang boleh dipercayai yang disokong oleh kedaulatan undang-undang dan penguatkuasaan yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Meja Bulat OECD-Asia mengenai Tadbir Urus Korporat 2023 di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung OECD, Yoshiki Takeuchi; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin dan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Sementara itu, Ahmad berkata, tanda-tanda keyakinan dan komitmen dalam pemacu pertumbuhan global negara menunjukkan Malaysia berada di landasan yang betul.

“Peningkatan kedua-dua pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) menunjukkan kedua-dua pelabur asing dan domestik sekali lagi yakin dengan pertumbuhan dan potensi ekonomi Malaysia.

“Visi untuk maju dengan piawaian tadbir urus yang tinggi bergantung pada keupayaan kita untuk belajar daripada masa lalu dan meneruskan agenda reformasi secara berterusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×