PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Bumiputera (PUNB) memperuntukkan sejumlah RM3.5 juta bagi Program Latihan Keusahawanan Siswazah (JumPER GREAT) kepada siswazah bumiputera berusia 30 tahun ke bawah.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin dalam satu kenyataan berkata, dana melalui program latihan keusahawanan digital itu meliputi elaun, geran permulaan, latihan, pemantauan dan konsultasi perniagaan.
Beliau berkata, inisiatif tersebut bertujuan menyemarakkan budaya keusahawanan dalam kalangan belia bumiputera sekali gus meningkatkan penyertaan usahawan yang lebih berkualiti dan mahir dalam penggunaan teknologi digital.
“Selain itu, kita juga mahu memberi galakan kepada golongan belia dengan menjadikan sektor perniagaan sebagai kerjaya pilihan bukannya sebagai sumber untuk menambahkan pendapatan semata-mata.
“PUNB mahu memberikan pendedahan yang inklusif kepada golongan belia dan menjadikan keusahawanan sebagai satu budaya” katanya.
Mengulas lanjut, Izwan berkata, sebagai permulaan, program JumPER GREAT berkenaan akan dibuka kepada 300 peserta sahaja dan mereka yang layak akan menyertai latihan selama tiga bulan.
Jelas beliau lagi, para peserta juga akan diberi elaun bulanan selain layak menerima Geran Dana Permulaan Perniagaan untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian.
“Sekiranya peserta tidak mempunyai produk untuk dipasarkan, PUNB akan mengadakan padanan perniagaan dengan menghubungkan peserta dengan syarikat terpilih bagi membolehkan mereka memasarkan produk syarikat tersebut di platform niaga peserta.
“PUNB juga akan menjalankan pemantauan dan memberi khidmat nasihat bagi memastikan teknik pemasaran yang dipelajari akan dipraktikkan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Izwan berkata, PUNB turut memperkenalkan inisiatif kedua iaitu Geran Pembangunan Alumni JumPER, khas untuk Alumni JumPER PUNB yang menamatkan latihan dari tahun 2020 hingga 2023.
Ujar beliau, seramai 546 alumni JumPER layak memohon geran dana pembangunan sehingga RM15,000 untuk setiap syarikat.
“Inisiatif untuk Alumni JumPER PUNB ini adalah tanda sokongan dan galakkan PUNB untuk terus memperkasakan usahawan muda bumiputera khususnya Rakan Usahawan PUNB,” katanya. – UTUSAN










