KUALA LUMPUR: Pertama Digital Berhad (Pertama Digital) berkolaborasi dengan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) untuk melancarkan Perkhidmatan Pertukaran Syiling KOCEK (KOCEK).
Kerjasama strategik itu membolehkan KOCEK menawarkan perkhidmatan pertukaran syiling inovatifnya di cawangan Pos Malaysia di seluruh Malaysia.
Kini boleh didapati di empat lokasi di Lembah Klang, perkhidmatan itu dijangka berkembang ke kira-kira 30 cawangan menjelang akhir 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, KOCEK memanfaatkan jejak runcit Pos Malaysia.
“Pada masa yang sama kami memanfaatkan KOCEK untuk menyediakan nilai kepada rakyat Malaysia. Setiap bulan kami mempunyai kira-kira 1.5 juta pelanggan yang hadir ke 632 lokasi kami, itu akan membantu pelanggan meningkatkan kesedaran tentang KOCEK selepas ini.
“KOCEK menyediakan akses yang mudah dan perkhidmatan yang cepat untuk membantu rakyat menukarkan koleksi syiling tidak digunakan mereka kepada nilai tunai digital, yang seterusnya dipindahkan ke akaun bank mereka.
“Ini akan mengurangkan keperluan untuk mencetak dan mengedarkan syiling baharu dan membantu menurunkan kos pengeluaran mata wang bagi bank pusat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Perkhidmatan Pertukaran Syiling KOCEK di sini, semalam.

Acara pelancaran itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abd. Rahman Abu Bakar.
Sementara itu, Pengerusi Pertama Digital, Datuk Ahmad Nazri Abdullah berkata, pihaknya gembira menjadikan produk dan perkhidmatan KOCEK mudah digunakan oleh rakyat melalui rangkaian luas Pos Malaysia.
“Dengan kehadiran mereka di bandar-bandar utama dan kawasan luar bandar, KOCEK dapat mencapai lebih banyak orang dengan cepat dan efisien.
“Dalam persekitaran ekonomi hari ini, setiap sen penting dan KOCEK bertujuan untuk menghasilkan pendapatan tambahan bagi semua orang,” katanya. – UTUSAN










