PETALING JAYA: Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyemarakkan pelbagai bentuk kerjasama antarabangsa dalam menyegerakan peralihan tenaga (ET).
Menekankan kepentingan jalinan kerjasama itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha secara kolektif boleh mendorong perubahan positif untuk masa depan lebih bersih dan mampan.
“Melalui kerjasama ini, kita boleh memanfaatkan kekuatan secara kolektif untuk mempercepat penggunaan teknologi tenaga boleh baharu (TBB), pembangunan inovatif solusi penyimpanan tenaga dan peningkatan amalan cekap tenaga.
“Kedudukan strategik Malaysia selaku Hab Tenaga ASEAN membolehkan kita berperanan penting dalam membangun masa depan tenaga mampan serantau menuju karbon sifar bersih ASEAN.
“Melihatkan kepada perkembangan TNB dalam perniagaan rentas sempadan serta memanfaatkan Grid Tenaga ASEAN (APG), ini akan meluaskan lagi prospek keterjaminan tenaga dan memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
“TNB memimpin perbincangan dengan syarikat utiliti dan negara ASEAN untuk perkongsian sumber dan solusi fleksibel yang berskala. Langkah ini akan mempercepatkan kadar peralihan tenaga secara bertanggungjawab sambil mengimbangi elemen trilema tenaga,” katanya dalam ucaptama di persidangan selama dua hari itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bulan lalu.
Ujar beliau, perhimpunan sedemikian penting dalam menyegerakan peralihan tenaga yang bertanggungjawab melalui kerjasama tempatan dan serantau dalam memperkukuh sambungan grid merentas sempadan, terutamanya demi keterjaminan tenaga di rantau ASEAN.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, satu daripada keutamaan TNB dalam mencapai sasaran Sifar Bersih di rantau ini adalah dengan memperkukuh kesalinghubungan negara ASEAN.
Berkongsi maklum balas daripada rakan serantaunya merangkumi PLN Indonesia, EGAT Thailand, EDL Laos dan SP Group Singapura, Baharin berkata, mereka komited untuk menjayakan sasaran tersebut dengan kesalinghubungan membolehkan biaya lebih baik untuk TBB, memperkukuh keselamatan sistem dan membuka lebih AS$6.3 trilion pelaburan menjelang 2050 seperti dianggarkan oleh Agensi Antarabangsa Tenaga Boleh Baharu (IRENA).
“Kami semua bersetuju adalah tepat masanya untuk menjadikan Grid Tenaga ASEAN satu realiti kerana ini adalah soal kelangsungan kami juga.
“Teknologi sedia ada tidak perlu diganti sepenuhnya. Sasaran nyah karbon elektrik secara pantas melalui peralihan semasa, mewujudkan beberapa bentuk cabaran dari segi keselamatan dan ekonomi yang begitu kompleks jika dihadapi secara berasingan.
“Atas sebab inilah, tiada siapa mampu mencapai sasaran Sifar Bersih secara bersendirian, dan terdapat keperluan segera untuk bekerjasama bagi mengoptimumkan sumber kita sambil menyeimbangkan trilema ini,” katanya.
Persidangan Peralihan Tenaga 2023 telah menarik lebih 2,500 delegasi daripada pelbagai segmen industri TBB dan teknologi mampan.
Kawasan pameran menempatkan ruang seluas 7,500 meter persegi yang mempamerkan inovasi terkini, teknologi TBB dan peluang pembiayaan. – UTUSAN










