IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang dalam rangka lawatan mengetuai delegasi ke China, tiba di kota Nanning semalam untuk melawat kilang pengasingan unsur nadir bumi, China Rare Earth Group Co. Ltd (CREG).
Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan berkata, lawatan ke bandar raya yang terkenal dengan gelaran ‘Kota Hijau’ itu bukan sahaja dilihat sebagai usaha mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-China, tetapi juga sebagai memenuhi jemputan CREG yang diutuskan kepada Kerajaan Negeri Perak pada September lalu.
Selain meneroka potensi pelaburan ke Perak, lawatan itu bertujuan meninjau teknologi terkini industri mineral negara itu yang boleh dimanfaatkan oleh Perak sebagai negeri yang berpotensi menjadi hab pembangunan industri tersebut di Malaysia.
“Lawatan ini juga membolehkan Perbadanan Menteri Besar (MB. Inc) selaku penggerak utama industri mineral di Perak dapat mengukuhkan hubungan strategik penggunaan teknologi khususnya dalam pengekstrakan unsur nadir bumi secara selamat dan bertanggungjawab.
“Ini membolehkan usaha berterusan dilakukan bagi menambahbaik strategi pembangunan industri mineral setelah terbukti berjaya melalui penggunaan teknik In-situ Leaching (ISL) iaitu kaedah yang paling selamat, mesra alam dan mampan bagi perlombongan Lantanida,” kata kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan itu, lawatan kerja tersebut amat signifikan memandangkan Perak berjaya menjalankan projek perintis perlombongan Lantanida di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak sehingga memberi pulangan hasil kira-kira RM16 juta dalam bentuk royalti kepada kerajaan negeri setakat Julai lalu.
Dalam lawatan kerja itu, delegasi Negeri Perak diberikan penerangan berkaitan pemuliharaan tapak selepas pengestrakan unsur nadir bumi oleh Pengarah Urusan CREG (Guangxi) Rare Earth Co. Ltd, Mr. Zhang Xinguang selain dibawa melawat kilang pengasingan unsur nadir bumi milik syarikat itu.
Turut sama dalam lawatan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee, wakil-wakil Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) termasuk MB Inc dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak serta wakil agensi-agensi teknikal negeri. – UTUSAN











