PUTRAJAYA: Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA) menjangkakan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang pada tahun hadapan berdasarkan pengumuman Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu.
Presidennya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, dalam bajet yang dibentangkan Perdana Menteri telah memberi perhatian kepada golongan PKS yang mewakili sebahagian besar perniagaan di negara ini.
Jelasnya, bagi merancakkan aktiviti dagang PKS, RM600 juta daripada RM8 bilion dana pinjaman di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) diperuntukkan untuk menyokong syarikat PKS.
”RM600 juta ini dikhususkan antaranya untuk membantu usahawan mikro dan usahawan berpendapatan rendah.
“DPIA melihat insiatif di bawah hala tuju Malaysia MADANI mampu menggerakkan aktiviti dagang PKS pada tahun depan dengan pertumbuhan pendapatan yang lebih baik.
“Kita menyokong segala usaha yang dilakukan Perdana Menteri dalam menstruktur semula ekonomi dalaman PKS ini,” katanya di sini, hari ini.
Sohaimi berkata, bagi menyokong perkara berkenaan, kerajaan turut menyediakan sejumlah RM1.4 bilion menerusi pinjaman mikro Bank Simpanan Nasional (BSN).
Katanya, pinjaman itu untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.
Dalam pada itu, Sohomi berkata, Anwar turut memberi peruntukan khas sebanyak RM720 juta bagi menggalakkan golongan wanita dan anak muda menceburi bidang perniagaan.
Katanya, usaha itu sekaligus memperkasa perniagaan golongan wanita dan anak muda yang memerlukan suntikan modal dalam perniagaan masing-masing.
Menurut beliau, usaha kerajaan secara holistik dengan turut memperuntukkan sebanyak RM330 juta kemudahan pembiayaan TEKUN kepada peniaga kecil, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Dengan pelbagai sasaran golongan perniagaan ini diharap pada tahun depan daya saing ini membantu meningkat pendapatan negara,” katanya. – UTUSAN










