Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK 81.9 peratus

Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK 81.9 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh pertama 2023 kekal stabil pada 81.9 peratus, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM berkata, daya tahan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan guna tenaga, dengan median nisbah hutang kepada pendapatan (DTI) adalah stabil pada 1.4 kali berikutan standard pembelian pinjaman yang kekal teguh oleh bank-bank.

Katanya, median nisbah khid­mat hutang (DSR) bagi pinjaman isi rumah yang baru diluluskan dan terkumpul juga kekal berhemat, masing-masing pada 42 peratus dan 36 peratus.

“Hal ini membantu me­nge­kalkan penampan yang kukuh untuk membayar balik pinjaman dalam kalangan isi rumah. Bahagian pinjaman isi rumah pada Tahap 2 terus menurun kepada 4.6 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah (atau 2.7 peratus daripada pinjaman sistem perbankan) daripada 6.7 peratus pada Disember 2022.

“Bank-bank tetap berwaspada terhadap risiko berkaitan dengan kos peminjaman yang lebih tinggi dan prestasi peminjam yang keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman yang diberikan semasa pandemik. Sebarang penurunan dalam kualiti peminjaman isi rumah dijangka berada dalam peruntukan dan penampan modal sedia ada bagi sistem perbankan,” katanya dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2023, semalam.

Bank Pusat itu berkata, ringgit terus dipengaruhi terutama oleh perkembangan luaran dalam tempoh separuh pertama 2023, dengan bank-bank terus mengekalkan penampan modal tunai yang kukuh.

Jelasnya, nisbah Perlindungan Mudah Tunai dan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih agregat sistem kewangan domestik kekal jauh melebihi paras minimum pengawalseliaan, masing-masing pada 154.4 peratus dan 117.0 peratus.

Permodalan sistem perbankan kekal kukuh dengan nisbah mo­dal keseluruhan berada pada 18.5 peratus pada akhir Jun 2023 de­ngan penampan modal berjumlah RM138.5 bilion melebihi paras minimum pengawal seliaan.

“Di samping itu, sektor insurans dan takaful juga kekal berdaya tahan. Nisbah kecukupan modal agregat dan lebihan penampan modal masing-masing berada pada 225 peratus dan RM38.8 bilion pada akhir Jun 2023.

“Penampan bank-bank, penanggung insurans dan pengendali takaful yang kukuh akan terus memastikan institusi kewangan berdaya tahan terhadap kejutan masa hadapan dan kerugian yang tidak dijangka. Hal ini akan membolehkan institusi kewangan terus menyokong keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah dan perniagaan,” jelasnya.

Mengenai prestasi kewa­ngan sektor perniagaan, BNM memberitahu, pinjaman terjejas perniagaan secara keseluruhan kekal rendah pada 1 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

Katanya, bahagian pinjaman PKS dengan risiko kredit yang lebih tinggi (dikelaskan sebagai Tahap 2) kekal rendah pada 2.1 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

Bahagian pinjaman PKS di bawah bantuan bayaran balik pinjaman pula terus menurun kepada 5.5 peratus daripada jumlah pinjaman PKS (atau 0.9 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan).

Tambahnya, perniagaan dijangka menghadapi cabaran yang berterusan seperti kos yang tinggi dan permintaan luaran yang rendah, namun kebanyakkannya dijangka mampu menghadapi potensi kejutan baharu berikutan leveraj perniagaan yang

bertambah baik, penampan tunai yang kukuh dan model perniagaan yang lebih tangkas.

BNM turut memberitahu, usaha mengekalkan daya tahan operasi dan siber institusi kewangan terus menjadi keutamaan dengan memperuntukan sumber yang besar bagi menguruskan risiko berkaitan operasi dan siber. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×