PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan pada Ogos 2023 berjumlah RM152.3 bilion, turun 3.3 peratus selepas merekodkan negatif 3.0 peratus bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, penurunan dipengaruhi terutamanya oleh subsektor Petroleum, kimia, getah dan plastik yang turun 12.1 peratus, mencatatkan penurunan dua digit selama tiga bulan berturut-turut.
Tambahan lagi, kata beliau, kemerosotan juga disumbangkan oleh penyusutan dalam subsektor Makanan, minuman dan tembakau (-6.6 peratus) dan Produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (-0.1 peratus).
“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan pulih kepada 5.8 peratus berbanding negatif 2.4 peratus yang dicatatkan pada Julai 2023,” katanya dalam kenyataan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia Ogos 2023, semalam.
Mohd. Uzir berkata, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi 72.7 peratus daripada jumlah jualan, menurun 6.7 peratus pada Ogos 2023 (Julai 2023: -7.0 peratus).
Penguncupan disebabkan terutamanya oleh industri Pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-19.7 peratus); Pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (-15.1 peratus); dan Pembuatan produk getah (-8.8 peratus).
Sebaliknya, kemerosotan dalam nilai jualan dikurangkan oleh industri berorientasikan domestik secara berterusan, dengan pertumbuhan 7.2 peratus pada Ogos 2023 (Julai 2023: 9.1 peratus).
“Kestabilan momentum ini sebahagian besarnya disokong oleh peningkatan kukuh dalam nilai jualan industri Pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler yang melonjak sebanyak 15.0 peratus, serta industri Pembuatan produk logam, kecuali mesin & kelengkapan pada 10.4 peratus,” katanya.
Mengenai bilangan pekerja, Ketua Perangkawan menyatakan, sektor Pembuatan melibatkan seramai 2.36 juta orang pada Ogos 2023, peningkatan 2.0 peratus berbanding 2.31 juta orang yang direkodkan setahun lalu.
Penambahan itu sebahagian besarnya disumbangkan dalam subsektor Makanan, minuman dan tembakau (6.2 peratus); Produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (2.6 peratus); dan Produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas dan Produk Logam yang Direka (2.2 peratus).
Jelas Mohd. Uzir, selaras dengan itu, gaji & upah yang dibayar dalam sektor Pembuatan juga meningkat sebanyak 3.0 peratus tahun ke tahun, dengan sejumlah RM8.0 bilion pada Ogos 2023.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, gaji & upah meningkat 0.9 peratus daripada RM7.9 bilion yang direkodkan pada Julai 2023. Tambahan lagi, purata gaji & upah bulanan bagi setiap pekerja mencatatkan kenaikan sebanyak 1.0 peratus dengan nilai RM3,397 manakala nilai jualan bagi setiap pekerja jatuh sebanyak 5.2 peratus kepada RM64,660.
Merumuskan prestasi bagi lapan bulan pertama tahun ini, Mohd. Uzir berkata, nilai jualan sektor Pembuatan mencapai RM1,184.8 bilion, berkembang sebanyak 1.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Pada tempoh tersebut, bilangan pekerja meningkat sebanyak 2.0 peratus untuk merekodkan seramai 2.36 juta orang manakala gaji & upah meningkat 3.7 peratus, mencatatkan RM64.6 bilion. Sementara itu, nilai jualan per pekerja merosot sedikit sebanyak 0.2 peratus, dengan jumlah RM503,093,” katanya. – UTUSAN










