NAFAS minta subsidi racun kepada pesawah dinaikkan

NAFAS minta subsidi racun kepada pesawah dinaikkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Pe­ladang Kebangsaan (NAFAS) meminta kerajaan menaikkan subsidi racun kepada pesawah daripada RM200 kepada RM500 per hektar melibatkan tambahan peruntukan daripada RM120 juta kepada RM300 juta dalam Belanjawan 224 minggu depan.

Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin berkata, kenaikan subsidi itu akan memberi manfaat kepada pesawah dalam mengurangkan kos belian racun di pasaran luar, penambahan kuantiti dan pilihan racun, selain mengurangkan belian racuan tiruan.

Beliau berkata, NAFAS turut meminta peruntukan tambahan daripada RM20 juta kepada RM500 juta bagi kawasan pengapuran sekitar 18,000 hektar ke 50,000 hektar.

Katanya, tambahan kelua­san kawasan pengapuran dapat memendekkan pusingan penga­puran daripada 16 tahun ke 8 tahun (secara berperingkat) supaya kawasan tersebut sentiasa berada dalam pH yang optimum.

“NAFAS turut berharap peruntukan tambahan bagi penyediaan infrastruktur yang melibatkan kawasan tanaman luar jelapang yang mengalami isu pengairan dan perparitan dan menaiktaraf infrastruktur sedia ada bagi kawasan jelapang padi,” katanya dalam kenyataan.

MUHAMMAD FARIS ARRIFFIN

Menurut Muhammad Faris, pengurusan selenggaraan sali­ran pertanian yang berterusan terutamanya perparitan untuk tanaman dan keperluan per­ta­nian dipertingkatkan bagi mengelakkan isu banjir berlaku yang mengakibatkan kerosakan seterusnya pengurangan hasil pengeluaran pesawah.

Selain itu, implementasi insentif atau pengecualian cukai pendapatan ke atas perbelanjaan modal dapat dilaksanakan untuk memperluas dan memperkasa penerimagunaan jentera fit-for-purpose untuk mengurangkan isu padi tumpah serta menggalakkan aplikasi pelbagai teknologi moden dan transformasi digital dalam sektor pertanian.

“NAFAS yang mewakili hampir 1 juta ahli peladang akan bersama-sama dengan kerajaan dalam merealisasikan dasar kerajaan ke arah menjamin keterjaminan makanan negara,” katanya.

Muhammad Faris berkata, sebagai entiti yang berpengalaman luas dalam sektor pertanian terutamanya subsektor input pertanian, NAFAS sentiasa bersedia dan komited mendokong dasar dan agenda kerajaan terutama dalam agenda keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan sumber import.

Malah kata beliau, sebagai rakan kerjasama (solution partner) kerajaan, NAFAS seiring dalam memastikan hasrat kerajaan dapat direalisasikan dalam menangani kebimbangan rakyat lebih-lebih lagi mengenai kecukupan bekalan makanan terutama makanan asas seperti beras.

Katanya, dalam industri pembuatan baja, NAFAS sedang memberi tumpuan bagi meningkatkan hasil keluaran padi negara melalui kerjasama dengan beberapa agensi seperti MARDI, Jabatan Pertanian, institusi pendidikan dan pihak-pihak berkepentingan dalam menghasilkan formulasi baja baharu.

Untuk memastikan penyaluran input pertanian subsidi sampai kepada pesawah mengikut jadual penanaman, NAFAS tambah beliau, telah melancarkan kempen Zero Late Delivery meliputi strategi koordinasi pelbagai peringkat rantaian sumber termasuk perolehan, pembuatan, logistik, pengedaran dan pemantauan sebagai inisiatif untuk mengelakkan kelewatan pembekalan dan pengedaran baja.

“NAFAS juga dalam perancangan melalui rangkaian Pertubuhan Peladang di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan agensi yang berkaitan untuk keterlibatan secara langsung dalam proses pengeluaran dan pembekalan Benih Padi Sah yang berkualiti, mencukupi dan tepat pada masa kepada pesawah,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN