KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) akan memulangkan bayaran balik RM20 juta kepada 125,000 penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasinya berkuat kuasa semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook Siew Fook berkata, berdasarkan maklumat diterima, sebanyak 125,000 tiket telah terjual untuk penerbangan ke pelbagai destinasi sehingga Mac 2024.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima, sebanyak 125,000 penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasi ini, mengapa, sebab syarikat telah jual tiket sampai Mac akan datang.
“Jadi, biasanya, untuk sekali tempah dalam rekod syarikat jual tiket hingga Mac depan. Nilai tiket keseluruhan sebanyak RM20 juta.
“Namun, MYAirline telah memberi jaminan akan menunaikan kewajiban mereka dan membuat balik kepada penumpang yang terjejas apabila mereka menemui pembiaya,” katanya dalam sidang media di Parlimen, semalam.
Pukul 6 pagi semalam, MYAirline dalam kenyataan mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tarikh yang diberitahu.
Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu berkata, keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan menyebabkan operasi perlu digantung, sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.
“Tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat.
“Kami amat kesal dan memohon maaf. Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.
“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.
“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” kata kenyataan itu.
Pada masa ini beberapa penerbangan alternatif menawarkan bantuan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air dan Thai Airways International untuk penerbangan ke Bangkok.
Sementara itu, penumpang MYAirline melahirkan rasa kesal dan marah dengan tindakan syarikat penerbangan baharu itu yang tidak beroperasi secara mendadak sehingga mengakibatkan mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di Sepang.
Menurut seorang penumpang, Andra, 17, dari Jakarta, Indonesia, dia sepatutnya menaiki penerbangan dari KLIA Terminal 2 menuju ke Bangkok, Thailand sekitar pukul 12 tengah hari ini untuk bercuti bersama lima lagi ahli keluarganya.
Bagaimanapun, ekoran penggantungan operasi berkuat kuasa hari ini oleh MyAirline mengakibatkan mereka terkandas di lapangan terbang berkenaan.
“Kami tiba di sini lewat malam tadi dari Jakarta dan sepatutnya menyambung perjalanan ke Bangkok tengah hari ini, namun merasa amat terkejut selepas mengetahui situasi yang berlaku kepada syarikat berkenaan.
“Tiada sebarang notifikasi atau sebarang emel yang diterima oleh kami untuk memaklumkan tentang masalah ini. Bila kami ke pejabat jualan tiada seorang pun pegawai berada di situ dan kami benar-benar kecewa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Seorang lagi penumpang, Abdul Hadi Karim, 62, berkata, tindakan MYAirline menutup operasi tanpa pemakluman awal bukan sahaja menyusahkan pengguna malah turut menyebabkan kerugian dari segi masa dan wang ringgit.
Jelas Abdul Hadi yang merupakan pesara guru, dia dijadualkan menaiki penerbangan pada pukul 12.25 tengah hari ke Tawau, Sabah namun tidak menyangka bakal berdepan dengan situasi sedemikian.
“Biasanya kita dengar penumpang terkandas kerana masalah cuaca atau kapal terbang, tapi kali ini dalam sejarah apabila syarikat penerbangan ini tidak beroperasi langsung.
“Saya pada mulanya tidak percaya mengenai perkara yang berlaku, namun selepas diberitahu oleh isteri dan memeriksa media sosial barulah saya tahu perkara sebenar. Oleh kerana tidak berpuas hati, saya tetap meneruskan perjalanan ke Terminal 2 namun hampa apabila melihat tiada seorang pun petugas di kaunter daftar masuk mahu pun pejabat jualan,” katanya.
Tambah Abdul Hadi, dia perlu pulang ke Tawau kerana mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan esok dan terpaksa membeli tiket penerbangan baharu dengan harga sekitar RM600.
“Saya ada urusan penting jadi mahu tidak mahu kena keluarkan duit lebih untuk beli tiket baharu, itu pun harus ke Kota Kinabalu dahulu pada pukul 6 petang ini,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Harih Palurui, 48, memaklumkan, ini bukan kali pertama dia bersama seorang lagi rakan menggunakan servis MYAirline untuk pulang ke Tawau, sekali gus merasa kecewa dengan tindakan yang dianggap tidak wajar dan menganiaya pengguna.
“Kalau nak tahu saya kena beli tiket baharu untuk ke Tawau esok dengan harga hampir RM1,000 berbanding tiket pada hari sekitar RM300.
“Jadi siapa yang mahu bertanggungjawab dengan masalah yang menimpa penumpang seperti kami? Sudah lah tiada seorang pun wakil syarikat yang ada untuk memberi penerangan mahu pun membantu pengguna yang terkandas di sini,” ujarnya dalam nada kesal.
Sementara itu, seorang penumpang warga China, Jun Ge, 24, berkata, dia sepatutnya menaiki penerbangan ke Pulau Pinang sekitar pukul 11 pagi untuk pulang ke Universiti Sains Malaysia (USM), namun terkejut selepas mengetahui syarikat penerbangan itu tidak beroperasi.
Menurut pelajar antarabangsa yang mengambil jurusan Matematik itu, dia hanya mengetahui tentang perkara itu selepas dimaklumkan oleh petugas di lapangan terbang.
“Saya tiba di lapangan terbang pada pukul 9 pagi dan benar-benar terkejut dengan perkara yang berlaku, tiba-tiba sahaja tidak ada penerbangan walhal tiket sudah pun dibeli, ini sangat menyusahkan,” katanya. – UTUSAN










