MIAF ditubuh bantu usahawan tani, keterjaminan makanan

MIAF ditubuh bantu usahawan tani, keterjaminan makanan

AWANG ADEK HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Pembiayaan-Tani Inovasi Malaysia (MIAF) dalam membantu usahawan tani serta menyokong keterjaminan makanan negara.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, penubuhan jawatankuasa pemandu berkenaan merupakan kerjasama antara KPKM, Agrobank, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan SC.

“MIAF menyasarkan untuk memanfaatkan kepakaran dan sumber ahlinya dalam meningkatkan pemahaman dan penggunaan kewangan dan teknologi alternatif sektor pertanian di samping memudahkan pertumbuhan perniagaan tani yang bersedia menerima pelaburan.

“Insya-Allah, kita akan mencapai objektif ini kerana bersama-sama, kita boleh memacu perubahan positif dan memperkasakan usahawan tani untuk berkembang maju dalam industri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena program Jelajah SCxSC GROW dan Persidangan Perbadanan Bioekonomi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Adek berkata, sejak penubuhan pada 2015, kurang tujuh peratus daripada dana yang diperoleh melalui platfom pemberian pinjaman pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pinjaman rakan setara (P2P) disalurkan ke perniagaan berkaitan pertanian.

Beliau berkata, ekoran itu, terdapat peluang besar bagi perniagaan tani untuk memanfaatkan kaedah pembiayaan alternatif tersebut menyokong keselamatan makanan Malaysia.

“Adalah penting bagi semua pihak berkepentingan bekerjasama memastikan usahawan tani Malaysia mempunyai akses kepada pilihan pembiayaan yang mereka perlukan. Usaha ini boleh merangkumi kerjasama antara agensi kerajaan, institusi kewangan dan persatuan industri,” katanya.

Awang Adek berkata, syarikat pemula niaga dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia di mana sokongan kewangan, akses pasaran dan perkongsian penting untuk pertumbuhan yang mampan.

Jelas beliau, kerjasama dengan pelabur melalui kepakaran dan pengalaman yang tepat mampu memainkan peranan penting dalam kejayaan syarikat memandangkan syarikat bio dan berasaskan pertanian bersifat khusus ekoran kepakaran tersebut penting bagi mereka.

“Dalam ruang pasaran swasta, SC telah berusaha untuk membangunkan rangka kerja kawal selia merangkumi insentif untuk memastikan pengurus modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) dapat menyokong PMKS merentasi pelbagai sektor.

“Firma VC dan PE bukan sahaja menyediakan pembiayaan, tetapi mereka juga menyokong usahawan dalam usaha pembangunan perniagaan mereka bagi memastikan usahawan tani mendapat sokongan kewangan dan pengetahuan perniagaan yang mereka perlukan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN