MekNoor Nasik Dagang bakal buka 10 cawangan

MekNoor Nasik Dagang bakal buka 10 cawangan

NOOR Shuhada Zakaria di hadapan restoran miliknya, MekNoor Nasik Dagang yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SIAPA sangka dengan hanya bermula mengambil tempahan dari­pada jiran sebelah rumah, kini jenama MekNoor Nasik Dagang mula meniti dibibir penggemar nasi dagang di Lembah Klang.

Malah, jenama itu turut memasang impian besar untuk melebarkan sayapnya ke 10 lokasi utama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor tahun depan.

Namun, di sebalik kejayaan itu tersembunyi pelbagai kisah jatuh bangun pemiliknya, Noor Shuhada Zakaria, 36, wanita cekal kelahiran Marang, Terengganu.

Lebih selesa disapa MekNoor, wanita itu tanpa segan silu berkongsi episod demi episod yang menghiasi perjalanannya dalam membangunkan jenama itu sejak tiga tahun lalu.

MekNoor berkata, dia meng­akui hidupnya pernah dilanda masalah rumah tangga dan pernah bergelar ibu tunggal seawal usia 24 tahun.

Katanya, perjalanan selepas itu sangat berliku dan pelbagai bidang diceburi termasuk membuka kedai makan, menjadi ejen pemasaran dan butik pengantin namun, semuanya gagal.

“Sehinggalah saya bertemu dengan suami, Mohd Abd Rashid Mohd Shukri, 38, pada 2016. Ketika itu, saya sudah nekad mahu berehat dan menjadi suri rumah sahaja.

“Tetapi, saya jenis tidak duduk diam dan mula mengambil tempahan nasi dagang daripada jiran-jiran dan Alhamdulillah dari situlah bermulanya jenama MekNoor Nasi Dagang.

“Saya kemudian diperkenalkan dengan seorang Datin dan seorang pempengaruh media sosial yang banyak membantu mempromosikan nasi dagang ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Katanya, dia kemudian membuka cawangan MekNoor Nasik Dagang di Dengkil sejak 2020 dan mula dikenali ramai sehingga ke hari ini.

MekNoor berkata, dia me­rancang membuka sebuah kilang yang berfungsi sebagai dapur berpusat di mana tiga menu utama iaitu nasi dagang, nasi minyak dan laksam akan dimasak dari kilang berkenaan.

Katanya, kilang itu dijangka membekalkan tiga hidangan utama MekNoor Nasik Dagang ke 10 cawangannya bermula tahun depan dengan cawangan pertama di Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, katanya, dia mengambil resepi kejayaan Nasi Dagang Atas Tol dalam mengembangkan jenama MekNoor Nasik Dagang khususnya di sekitar Lembah Kelang.

Katanya, nasi dagang dimana-mana sekalipun rasa dan keenakannya tidak jauh beza namun, yang membuatnya le­bih istimewa adalah campuran rempah ratusnya.

“Resepi nasi dagang ini diperturunkan oleh ibu saya, Aminah Sulung yang mewarisinya daripada nenek saya sejak zaman berzaman,” katanya.

Katanya, biarpun berdepan kenaikan harga barangan mentah namun, dia masih mengekalkan harga sejak tiga tahun lalu dan mengakui tidak sanggup membebankan pelanggan dengan harga yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN