KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.4 bilion panggilan mencurigakan telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh hampir lima tahun lalu, iaitu sejak 2018 hingga 31 Ogos 2023.
Selain itu, sebanyak 4,051 laman web pancingan data telah diambil tindakan dari 2020 hingga 31 Ogos 2023 dan sejumlah 581 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) telah disekat dari 2021 hingga 31 Ogos 2023.
Bagi tempoh berkenaan juga sebanyak 237,999 talian termasuk talian mudah alih dan talian tetap yang dikaitkan dengan SMS mencurigakan telah ditamatkan perkhidmatannya.
Ahli Suruhanjaya MCMC dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Maklumat, Derek Fernandez berkata, pihaknya mempunyai kuasa untuk melaksanakan arahan untuk menyekat spam, mengalih keluar kandungan dan menyekat laman web yang disyaki digunakan untuk penipuan atau untuk melakukan perbuatan jenayah.
“Oleh itu, kami sentiasa berhubung dengan semua agensi kerajaan. Sebagai contoh, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat permintaan kepada MCMC tentang laman web yang mencurigakan dan kami akan terus menyekat laman tersebut.
“Sebanyak 29 laman web telah disekat berdasarkan permintaan PDRM di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 7,754 akaun telah dibenderakan untuk perhatian penyedia platform (akaun penyamaran atau palsu yang digunakan untuk tujuan penipuan),” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran semula kempen kesedaran #JanganKenaScam di sini, semalam.
Ujarnya, MCMC membantu semua agensi menjalankan langkah yang perlu untuk menyekat atau menghapuskan laman web yang mencurigakan itu.
“Itu adalah sebahagian kecil masalah ini. Realiti dan masalah sebenar mungkin tujuh kali ganda lebih besar daripada jumlah sebenar kerana kebanyakan orang tidak mahu melaporkan apabila mereka ditipu secara atas talian.
“MCMC ditugaskan untuk menguruskan peningkatan yang luar biasa dalam talian sekarang. Ini adalah trend di seluruh dunia dan ia adalah salah satu akibat daripada pendigitalan,” katanya. – UTUSAN










